Sunday, November 29, 2009

Damai itu masih ada..

assalamualaikum..

Hijau sawah padi di kala hujan turun renyai-renyai cukup membuatkan hati yang kacau bisa menjadi tenang. Terasa khayal sebentar di dalam dunia yang dicipta sendiri ketika melewati tanah sawah di kampung. Perjaalanan dari rumah ke kampung di Sabak Bernam cukup mendamaikan. Suasana kampung yang masih lagi terpelihara dari pelbagai pencemaran ini cukup mendamaikan.


Khamis lalu saya dan adik serta dua orang adik sepupu pulang untuk beraya di kampung memandangkan raya Aidilfitri yang lepas saya tidak sempat pulang kerana ada kelas memandu yang terakhir sebalum menjalani ujian memandu.




Ini kali pertama saya merayakan hari raya Eidul Adha di suni selepas beraya 4 tahun di Jordan. Suasananya cukup berbeza. Secara peribadi saya rasakan raya korban di Jordan lebih meriah berbanding di Malaysia. Entah, mungkin bagi warga Malaysia, Eidulfitri lebih meriah untuk disambut secara besar-besaran. Tapi mungkin terpulang kepada individu itu sendiri. Kerana sejauh mana meriah dan bermaknanya hari raya ini berdasar penghayatan erti hari raya itu sendiri.


Teringat saya sewaktu di Jordan, ketika raya korban semakin hampir, banyak kambing biri-biri diletakkan di hadapan kedai-kedai daging di Syari' Iskan berdekatan pasaraya Zam-zam. Ketika tahun pertama, saya sangat teruja melihat kambing biri-biri secara "LIVE". Maklumlah selama ini saya hanya melihat di kaca televisyen. Seronok memang seronok tapi bau kambing-kambing ni pun boleh tahan. Patut la orang suka cakap tak mandi macam kambing, takut air ^_^



Pengorbanan Manifestasi Keangungan Cinta


Tema untuk majlis raya korban PERMAI dua tahun lalu. Saya suka tema tersebut kerana ia mempunyai makna yang cukup mendalam. Bukan mudah berkorban untuk mencapai cinta padaNya yang hakiki kerana ia memerlukan hati yang benar-benar ikhlas dan suci.


Tema ini dikupas oleh Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafie denagan cukup padat walaupun dalam masa yang singkat. Apa yang pasti, cinta itu fitrah. Tetapi fitrah yang perlu dipandu dengan Akal berpandukan Iman dan Taqwa. Mudah untuk menyatakannya, tetapi sukar untuk melakukannya kerana ramai yang menjadi mangsa cinta akibat terlalu banyak berkorban. Ingatlah, sehebat mana pun pengorbanan dalam mencari cinta sesama makhluk itu janganlah sampai mengatasi pengorbanan kita untuk mencari cinta antara makhluq dan Khaliqnya.


:: Beruntung bagi mereka yang menemui cinta Agung, moga ia menjadi jalan ke Syurga abadi ::