Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Wednesday, February 16, 2011

Dia Pernah Mencintaimu.. Cintanya Luar Biasa..

assalamualaikum..


Dipetik dari buku Murabbi Cinta..






“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.

“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.

Persoalan.
Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?

“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Aneh.

Mencintai insan yang belum ada.

Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.

Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.

Cinta luar biasa.

Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.


SENYUMAN PERPISAHAN

Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.

Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,

Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.

“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.

Wajah itu mengubat rindu mereka.

Tiga hari yang hilang warna dan sepi.

Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.

Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.

Sangka mereka itu senyum kesembuhan.

Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…

Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.

“Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.

“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.

Tangan itu rebah terkulai.

Basah dalam bejana air.

Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.

Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.

Merindui saudara-saudaranya.

Kita.


SEBUAH PERTANYAAN CINTA

Justeru…

Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?

Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?

Hati kecil itu tidak mampu berbohong.

Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….



“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Tuesday, November 30, 2010

assalamualaikum..




~ Dalam hidup ini Allah tidak memberi apa yang kita MINTA tetapi Dia memberi apa yang kita PERLUKAN.. ALLAH tak bagi apa yang kita SUKA, tetapi DIA bagi apa yang TERBAIK untk kita, paling sesuai untuk keadaan kita ~

Wednesday, November 10, 2010

Mari Berpantun

assalamualaikum..

satu perkongsian dari sahabat saya..


Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Kalau tak ikut gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.


Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekong pun orang cakap,
Elok dipandang tak payah pun 'make up'.


Sekurang-kurangnya berbaju kurung,
Lebih elok jubah mengurung,
Kaki pula mesti bersarung,
Ditumit kaki syaitan bertarung.


Kalau wanita menutup aurat,
Orang jahat tak berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.


Pakaian modern??!! memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,
Orang memakaipun nampak pusat.


Berseluar ketat baju pun ketat,
Jarangnya pulak boleh dilihat,
Orang yang memakai terus dilaknat,
Oleh Allah, Rasul dan Malaikat...


::bersama kita renungkan::

Tuesday, August 31, 2010

Busana Muslimah dan Bonggol Unta

assalamualaikum..

Minggu lepas saya ke perpustakaan fakulti undang-undang di UM. saya solat asar dahulu sebelum pulang ke rumah. saya solat seperti biasa, keadaan musollah juga seperti biasa. selesai solat, saya bersiap-siap untuk pulang. sewaktu melipat telekung, saya terdengar perbualan di antara tiga sahabat ini. Bukan tujuan untuk mengumpat tetapi ingin mencari ibrah bagi kita semua untuk sama-sama kembali bermuhasabah..

" wow tingginya bonggol rambut ko, mesti panjang kan rambut "
" taklah, aku pakai ni ha, bonggol palsu. tulah semua orang ingat rambut aku panjang, sampai ada yang kata rambut akulah yang paling panjang dalam office "
" laa yeke.. ingatkan rambut betul "
" hehehe inilah rahsianya. ala artis-artis tu pun pakai jugak. ko ingat rambut diaorang tu panjang sangat ke"
"oo .."


begitulah hiwar antara tiga sahabat ini - lebih kuranglah, nak ingat kembali ayat sebijik-sibijik panjang pula..

dan saya tertarik untuk berkongsi dengan artikel ust hsarizal ini.. isunya yang lebih kurang sama.. Fenomena busana Muslimah dan Bonggol Unta..


Busana Muslimah : Di Mana Islamnya?




“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!”

Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?

Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing?

Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah.

Itulah BUSANA MUSLIMAH.


LANDSKAP 1990′AN

“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat.

“Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.

“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya.

“Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok perbincangan.

Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang.

Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.

Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.

Tudung juga tidak banyak jenis.

Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.

Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.


LANDSKAP SEMASA

Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.

Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya.

Baguslah begitu.

Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.

Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.



PENTAKRIFAN


“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…” [al-Ahzaab 33: 33]

Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?

Bagaimana dengan batas-batas Aurat?

Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?

Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.



Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “[Hadith riwayat Muslim]

Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?



Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!

Di manakah Islamnya?

Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.

Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.

Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?

Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.


BEBAS

“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul.

“Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya” tegas seorang yang lain.

Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.

Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang menyeronokkan (lagi menguntungkan).

Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya.

Kami cemburu dengan agama kami.

BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.




Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33: 36]

FULL STOP!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

:: sama-sama kita berdoa moga kita sentiasa dipelihara Allah.. Takut menjadi golongan yang sesat dan menyesatkan ::

Friday, August 6, 2010

Benarkah ia bulan tarbiyah??

assalamualaikum..

Tidak lama lagi kita bakal didatangi bulan penuh keberkatan, bulan Ramadhan. Alhamdulillah kita masih diberi peluang bertemu dengannya kembali namun untuk berapa lama bersamanya kita juga tak pasti..

Apabila tiba Ramadhan, bukan sahaja penuh jemaah di masjid atau surau tetapi penuh juga jemaah di bazaar-bazaar Ramadhan,kedai-kedai pakaian dan shopping complex.. Malah lebih hebat lagi sebelum Ramdhan menjelma apatah lagi Syawal, promosi hari raya telah pun diadakan.

Saya berfikir sejenak, bulan yang dikatakan sebagai madrasah tarbiyah bagi umat Islam ini benar-benarkah berjaya mendidik jiwa dan hawa nafsu mereka atau bulan ini lebih menjadikan hawa nafsu bermaharaja lela??!!


Entah mengapa saya risau melihat gelagat masyarakat yang sanggup berhabisan wang untuk membeli langsir baru, baju raya berpasang-pasang yang bukan calang-calang harganya, juadah berbuka yang pelbagai hingga ada yang terpaksa dibuang kerana kekenyangan.

Mengapa ibrah Ramadhan tidak dihayati agar bisa menjadikan insan yang tidak lupa diri. Benarkah kita merasai kemiskinan dan kebuluran si miskin yang kekurangan makanan sedangkan kita tersandar kekenyangn selepas berbuka?? Betulkah fakta yang mengatakan bulan ini dapat meningkatkan kesihatan, dapat merehatkan sistem penghadaman kerana kita kurang makan?? tetapi kita lupa tatkala berbuka perut yang kosong disumbat pelbagai jenis makanan sehingga memaksa perut kita bekerja lebih dari hari biasa..

Itulah kehebatan Ramadhan.. Bagi yang berfikir dan berzikir, ia pasti dapat menilai dan membentuk diri agar menjadi manusia yang lebih dekat dengan Ilahi bukan untuk sebulan ini tetapi selamanya nanti.. namun bagi mereka yang leka, yang merasakan ia tidak ubah seperti Ramdahan yang lalu, akan terus dibelenggu nafsu yang tidak pernah jemu dengan kenikmatan dunia yang palsu.

Apapun sama-sama kita berdoa moga hidayah Allah akan terus memacu kita ke jalan yang diredhaiNya.. Moga amalan kita diterima dan miga istiqamah dalam melakukannya sebelum ini akan terus berjalan merentasi Ramdahan dan bulan-bulan yang lain.. Selamat menyambut Ramdhan al-Mubarak.. Ramadhan Kareem..

Sunday, November 29, 2009

Damai itu masih ada..

assalamualaikum..

Hijau sawah padi di kala hujan turun renyai-renyai cukup membuatkan hati yang kacau bisa menjadi tenang. Terasa khayal sebentar di dalam dunia yang dicipta sendiri ketika melewati tanah sawah di kampung. Perjaalanan dari rumah ke kampung di Sabak Bernam cukup mendamaikan. Suasana kampung yang masih lagi terpelihara dari pelbagai pencemaran ini cukup mendamaikan.


Khamis lalu saya dan adik serta dua orang adik sepupu pulang untuk beraya di kampung memandangkan raya Aidilfitri yang lepas saya tidak sempat pulang kerana ada kelas memandu yang terakhir sebalum menjalani ujian memandu.




Ini kali pertama saya merayakan hari raya Eidul Adha di suni selepas beraya 4 tahun di Jordan. Suasananya cukup berbeza. Secara peribadi saya rasakan raya korban di Jordan lebih meriah berbanding di Malaysia. Entah, mungkin bagi warga Malaysia, Eidulfitri lebih meriah untuk disambut secara besar-besaran. Tapi mungkin terpulang kepada individu itu sendiri. Kerana sejauh mana meriah dan bermaknanya hari raya ini berdasar penghayatan erti hari raya itu sendiri.


Teringat saya sewaktu di Jordan, ketika raya korban semakin hampir, banyak kambing biri-biri diletakkan di hadapan kedai-kedai daging di Syari' Iskan berdekatan pasaraya Zam-zam. Ketika tahun pertama, saya sangat teruja melihat kambing biri-biri secara "LIVE". Maklumlah selama ini saya hanya melihat di kaca televisyen. Seronok memang seronok tapi bau kambing-kambing ni pun boleh tahan. Patut la orang suka cakap tak mandi macam kambing, takut air ^_^



Pengorbanan Manifestasi Keangungan Cinta


Tema untuk majlis raya korban PERMAI dua tahun lalu. Saya suka tema tersebut kerana ia mempunyai makna yang cukup mendalam. Bukan mudah berkorban untuk mencapai cinta padaNya yang hakiki kerana ia memerlukan hati yang benar-benar ikhlas dan suci.


Tema ini dikupas oleh Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafie denagan cukup padat walaupun dalam masa yang singkat. Apa yang pasti, cinta itu fitrah. Tetapi fitrah yang perlu dipandu dengan Akal berpandukan Iman dan Taqwa. Mudah untuk menyatakannya, tetapi sukar untuk melakukannya kerana ramai yang menjadi mangsa cinta akibat terlalu banyak berkorban. Ingatlah, sehebat mana pun pengorbanan dalam mencari cinta sesama makhluk itu janganlah sampai mengatasi pengorbanan kita untuk mencari cinta antara makhluq dan Khaliqnya.


:: Beruntung bagi mereka yang menemui cinta Agung, moga ia menjadi jalan ke Syurga abadi ::

Tuesday, March 31, 2009

Saat Bersama Mu...

assalamualaikum..

Tiba-tiba rasa nak berkongsi emel yang difoward oleh rakan saya ni..

Pada mu yang bergelar Wanita.. Hayatilah..

Aku suka melihat wajah ibu..
Sering kurenung wajah tenang ibu,
Ibu sering berbicara denganku
walaupun aku masih belum dpt mengerti bait-bait kalimahnya..
Ibu tahu walaupun aku belum dapat mengerti,
Ibu yakin aku dapat mengingati..
Saat ibu bercerita, aku curi-curi pandang matanya
…yg bersinar riang menterjemahkan kebahagiaan yang dikecapi

Lembut wajahnya
....memancarkan tawadhu’ di dalam limpahan kesyukuran.
Garis-garis halus wajahnya
..melambangkan ketabahan
Lunak suaranya
…penuh kasih sayang dalam ketegasan.



Ibu mengungkapkan kata2nya sambil membelai-belai rambutku,

"Wahai anakku, Ketahuilah asal usul dirimu…engkau lahir dari harapan seorang ibu yang pernah kuukir dahulu, sebuah harapan yang kufikir tinggal harapan, namun keindahan tawakkal telah menjadikannya suatu kenyataan.."

"Ibu tidak merasa terlalu awal untuk menitipkannya untukmu kerana ibumu ini mahu kau membesar dgn fikrah seorg wanita solehah.Kelak akan kuulangi nasihatku bila kau sudah dewasa, supaya pada ketika itu kau tidak merasa asing dengan mutiara-mutiara nasihat ibumu ini.Dan seandainya ditaqdirkan ibumu tidak berkesempatan, diriku tidak akan mesyesal kerana telah pun menyampaikannya kepadamu, permata hatiku."

…dalam keluarga,dirimu umpama madrasah yg akan mentarbiyyah pejuang-pejuang Islam. Sesungguhnya Baitul Muslim soleh harus mempunyai madarasah yg solehah karana dari Baitul Muslim yg soleh akan lahirlah masyarakat dan Negara yg soleh wal muslih.





Anakku,
Andai kau ingin memilih pendamping hidupmu,
Usahlah dilihat pd sebuah kesempurnaan krn manusia tiada sempurna.
Dia perlulah seorang yg mencintai Allah dan mengasihimu kerana Allah.

Carilah dia yg menerimamu seadanya sebagai seorg wanita,
Yang seikhlas hati mengasihimu sebagai isteri,
Yang jujur padamu sebagai teman hidupnya,
Yang memuliakan dirimu sebagai ibu kepada para zuriatnya.
Yang memahami hakikat dirimu sebagai hamba yg punya kewajipan kepada Pencipta,
Yang mengobarkan semangatmu untuk istiqomah di medan da’wah

Siapa pun dia yg telah ditaqdirkan Allah buatmu,
Terimalah segala kelebihan dan kekurangannya,

* Kekurangannya menterjemah hakikat dirinya sebagai seorang hamba.Yang harus kau terima dengan penuh lapang dada.

* Kelebihannya bermaksud Allah menginginkan kebaikan buat dirinya dan menganugerahkan ketenteraman tika kau bersamanya.Yg harus kau terima penuh kesyukuran tanpa bangga.


Carilah dia yg memahamimu secara reality,
Bukan menganggapmu bak bidadari,

Kelak ditakuti hatinya akan kecewa.

Hanya kepadanyalah, yang telah halal bagimu akan kau curahkan
-kepatuhan dan penghormatan..
-Pengorbanan dan kesabaran..
-cinta dan kasih sayang..
-senyum manis dan belaian..

Hanya padanya anakku, tidak sesekali lelaki ajnabi, mujahadahlah untuk memelihara kemuliaan dirimu semata-mata mengharap redha Allah.




Lalu, kau didiklah zuriatnya yang kau lahirkan dgn penuh amanah

.. sejak zuriatmu di dalam kandungan lagi, perhatikanlah akhlakmu, makananmu, agar darah yg membentuk dirinya dari sumber yg suci.

.. Perdengarkanlah ia dengan alunan zikir dan Kalam Ilahi.

Agar bila lahirnya nanti perkara kebaikan adalah kebiasaaan dirinya.
Isi semangat ingin tahunya dgn mengenal Allah, sunnah Rasulullah,para sahabat dan sahabiah.
Lenturlah lidah lembutnya dgn sebutan zikir dan bacaan alQuran,
Serikan hidupnya dgn keindahan bi’ah solehah qudwah hasanah dari ibu dan ayah,
Hiasi dirinya dgn keindahan akhlak jua kecintaan pd ilmu.
Susuli perbuatan baik dan kejayaannya dgn pujian diiringi rasa tawadhu’.
Iringi setiap kesalahan dan silap perbuatannya dgn teguran berhikmah dan penuh kasih sayang.
Doronglah dia sentiasa supaya tetap berjuang di medan dakwah,
Memimpin ummah menuju hidayah.


Lazimi dirimu dgn taqarrub ilallah, sesungguhnya jalan menuju Allah
tidak dihampari karpet merah.Malah berliku jua banyak halangannya.
Walau apa jua yg kau terima dari Allah, samada yg membuatmu suka mahupun berduka,
Kembalikan segalanya kepada Allah.
Kerana dariNya kiita datang dan kepadaNya kita kembali.


" Semoga kau tabah anakku menghadapi ranjau kehidupan, doa ibu akan sentiasa bersamamu walau di mana dikau berada.Carilah dan tambahkanlah ilmu dari pelbagai sumber ilmu dan pengalaman.Moga dikau menjadi penerus rantaian perjuangan ibu ayah.Semoga kau menjadi saham kebaikan buat ibu dan ayah di akhirat. Maafkan kami seandainya terdapat kekurangan pada didikan kami padamu kerana kami juga manusia biasa yg penuh kelemahan.”




Kumerasakan dingin dahiku dikucup ibu penuh kasih, hangat air matanya menitis ke wajahku…sungguh bahagianya aku memiliki insan mulia sepertimu. Alhamdulillah.Terima kasih ibu. Semoga aku dikurniakan keizinan dan kekuatan untuk memenuhi harapanmu, ibu.

Tuesday, February 3, 2009

Bukti kasih sayang

assalamua'laikum..

Muqaddimah.

Kita sering membicarakan tentang ukhwah dan seringkali mendengar ungkapan “ukhwah Fillah Abadan Abada”.. Namun sedarkah kita apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh ungkapan tersebut dan mengapa kita perlu berukhuwah???

Perpindahan kaum Muhajirin dan Ansar adalah contoh yang terbaik untuk mentafsirkan definisi ukhwah yang sebenar. Perbezaan bangsa, keturunan dan kekayaan tidak menjadi kekangan dalam berukhwah tetapi kerana Islam mereka bersatu. Buktinya mereka sanggup berkorban harta dan isteri untuk dikongsikan kepada saudara baru mereka. Mungkinkan kita boleh melakukannya sepertimana para sahabat terdahulu lakukan??




Konsep sebenar ukhuwah.

“Ukhwah Fillah Abadan Abada”.. sejauh mana sebenarnya konsep ini kita implimentasikan dalam kehidupan kita?? Ukhuwah bukanlah satu subjek teori sains yang dipelajari di sekolah kemudian diaplikasikan di dalam makmal. Ia lahir dari dalam hati,untuk mendapatkannya kita perlu berusaha. Usaha yang bagaimana?? Banyak caranya, SMS,YM,kad ucapan,ziarah,keluar makan,berjalan-jalan,perbincagan Ilmiah, study group dan banyak lagi.. Wasilahnya banyak Cuma terpulang kita memilihnya.


Ramai dikalangan kita merasai sudah cukup berukhwah atau berkasih sayang apabila kita sentiasa bersama-sama dengan sahabat kita. Tetapi konsep sebenar ukhwah dalam Islam
Bukanlah begitu. Bagaimana bukti kita berukhwah kerana Allah??

1) Setiap kali bersamanya kita akan berasa aman dan tenang. Perlakuan,pertuturan dan akhlaknya membuatkan kita berasa ingin lebih dekat dengan Allah.
2) Kita tidak akan membiarkan dirinya melakukan dosa dan maksiat yang dilarang oleh Allah.
3) Sama-sama mengajak kearah kebaikan dang menghidupkan budaya nasihat-menasihati.
4) Tidak mudah berkecil hati andai ditegur dan berlapang dada.
5) Mengamalkan konsep “Give & Take” bersedia untuk ditegur dan menegur, bersedia mendengar dan didengari.
6) Menunaikan janji dan amanah yang telah diberikan dan mudah memberi bantuan.
7) Memberi kekuatan dan nasihat ketika ditimpa musibah&kesusahan.
8) Tidak menceritakan keburukan sahabat dan menjaga aibnya.
9) Sentiasa mendoakan kesejahteraannya di dalam doa setiap kali solat.



Hadith berkaitan Ukhuwah.

Ø Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Ada tujuh macam orang yang
akan dapat diberi naungan oleh Allah dalam naunganNya pada hari tiada naungan
melainkan naunganNya 40 - yakni pada hari kiamat, iaitu: imam - pemimpin atau kepala yang adil, pemuda yang tumbuh - sejak kecil - dalam beribadat kepada Allah Azza wa jalla,seseorang yang hatinya tergantung - sangat memperhatikan – kepada masjid-masjid, dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan yang sedemikian serta berpisah pun demikian pula, seseorang Ielaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan serta kecantikan wajah, lalu ia berkata: "Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah," - ataupun sebaliknya yakni yang diajak itu ialah wanita oleh seorang Ielaki,seseorang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu menyembunyikan amalannya itu -tidak menampak-nampakkannya, sehingga dapat dikatakan bahawa tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan seseorang yang ingat kepada Allah di dalam keadaan sepi lalu melelehkan airmata dari kedua matanya." 41 (Muttafaq'alaih)


Ø Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, engkau semua tidak
dapat masuk syurga sehingga engkau semua beriman dan engkau semua belum disebut
beriman sehingga engkau semua saling cinta-mencintai. Sukakah engkau saya beri petunjuk
pada sesuatu yang apabila itu engkau semua lakukan, maka engkau semua dapat saling
cinta-mencintai? Sebarkanlah ucapan salam antara engkau semua." (Riwayat Muslim)


Ø Dari Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w. bahawasanya ada seorang Ielaki berziarah
kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah memerintah seorang
malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan," kemudian dihuraikannya Hadis itu
sampai kepada sabdanya: "Sesungguhnya Allah itu menctntaimu sebagaimana engkau
mencintai saudaramu itu kerana Allah." (Riwayat Muslim)


Ø Dari Mu'az r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Allah 'Azzawajalla berfirman:
"Orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu, maka mereka itu
akan memiliki mimbar-mimbar dari cahaya yang diinginkan pula oleh para nabi dan para
syahid - mati dalam peperangan untuk membela agama Allah."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan
shahih.


Ø Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Haknya seorang Muslim terhadap orang Muslim yang lain itu ada lima perkara yaitu
menjawab salam, meninjau yang sakit, mengikuti jenazahnya, mengabulkan undangannya
dan bertasymit kepada yang bersin - yakni kalau seseorang bersin dan mengucapkan
Alhamdulillah, maka yang mendengar hendaklah mentasymitkan - mendoakan - dengan
mengucapkan: Yarhamukalhh, artinya: Semoga Allah merahmatimu, kemudian yang bersin itu
menjawab: Yahdikumullah wa yushtihu balakum, artinya: Semoga Allah memberi petunjuk
padamu dan memperbaiki hatimu." (Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat Muslim disebutkan demikian:
"Hak seorang Muslim terhadap orang Muslim lainnya itu ada enam perkara, yaitu
jikalau engkau bertemu dengannya, maka berilah salam kepadanya, jikalau ia
mengundangmu, maka kabulkanlah undangannya, jikalau ia meminta nasihat kepadamu, maka berlah padanya nasihat, jikalau ia bersin, maka doakanlah dia, jikalau ia sakit, maka ziarahilah akan dia, dan jikalau ia mati, maka iringilah jenazahnya.

Friday, January 30, 2009

Ukhuwah Fillah yang Songsang

" ana akhukum fil islam.."
" uhibbuki fillah.. "
" ukhuwah fillah abadan abada.."


Kata-kata yang seringkali diungkapkan atau dilafazkan kepada insan yang kita gelar sahabat.. Hidup di bumi akan terasa sunyi tanpa kehadiran teman. Namun kadangkala jadi rimas juga akibat kerenah teman-teman ini. Tapi itulah asam garam kehidupan ini..

Sahabat, rakan, kawan, teman, atau gunalah apa sahaja istilah namun maksudnya tetap sama. Cuma kadangkala saya terfikir sedarkah kita makna yang tersirat tatkala mengungkap " ukhwah fillah abadan abada" ini??

Andai kita dalami sedalam-dalamnya makna ungkapan ini ia pasti akan membuatkan kita sentiasa berusaha untuk memberi dan sentiasa bersedia menerima. Berusaha menjadi sahabat yang terbaik, bersedia menerima baik dan buruknya sahabat kita.
Teringat kata-kata sahabat saya, " Andai kita mengharapkan sahabat sesetia Abu Bakar radhiallahuanhu pastikan peribadi kita terlebih dahulu mengikuti peribadi beliau "


Andai benar cinta dan kasih sayang kerana ALLAH sudah pasti amar makruf nahi mungkar kita akan dilaksanakan.. Sayang sehingga mahu membawanya bersama-sama ke Syurga, dan kerana sayang jugalah takut membiarkannya jatuh ke dalam neraka Jahannam..





Ukhuwah yang disalah tafsirkan

" akak lelaki dengan perempuan tak boleh jadi kawan baik ke? "

Satu soalan yang pernah diajukan kepada saya. Saya pasti setiap orang punyai jawapan yang sendiri. Begitu juga saya. Tetapi sebelum memberi jawapan pada adik tadi saya bertanya kembali..

" apa sebab awak nak kawan dengan dia ek? "
Jawapan yang diberi ..
" ala dah satu kuliyyah, takkanlah tak boleh nak berkawan langsung. Tanya kabar pun tak boleh ke? "

Saya tersenyum memandangnya. Saya ceritakan pengalaman bersekolah di sekolah yang 100% perempuan. Tetapi bila form 5, kami menerima "tetamu asing". Seramai 12 orang pelajar lelaki diterima masuk ke Kelas 5 Aisyah atau kelas 5 sains satu. Mula-mula kami kekok dengan tetamu ini, tapi lama-lama kami mula boleh menerima kehadiran mereka. Alhamdulillah, kami berjaya membentuk biah yang baik. Walaupun sekelas namun bukan kebiasaan kami berbual-bual kosong di dalam kelas. Entah, kami tak nampak dimana keperluannya. Tetapi ini bukanlah menghalang kami meminta tolong andai ada soalan fizik atau add math yang complicated untuk diselesaikan.. Itu cerita zaman sekolah dahulu..

Tapi kini tiba di alam kampus. Banyak kelainan dan memang ketara perbezaannya. Kadangkala pelik melihat mereka yang berborak berjam-jam, keluar makan bersama-sama,study group berdua-duan.. Alasan mereka, kami hanya kawan, bukannya bercouple, ada pulak yang menambah inilah namanya ukhwah fillah,saling tolong menolong dan ambil berat.. haish!!! Ini belum lagi kita melihat fenomena adik angkat dan kakak angkat, abang angkat dan apa-apalah yang boleh diangkat..

Persoalannya disini adakah hukum itu menjadi ringan bila status kita hanya kawan?? Adakah hukum itu berubah apabila kita hanya berabang angkat, berkakak angkat??
Lupakah kita pada kuasa Maha Agung di atas sana?? Dia pemilik hati ini. Bisa membolak –balikkan hati ini bila-bila masa sahaja. Dari sekadar berkawan tidak mustahil boleh jatuh cinta, dari asalnya seorang kakak angkat tidak mustahil boleh menjadi seorang isteri. Janganlah terlalu angkuh untuk mencipta 1001 alasan untuk mengatakan kita mampu memelihara hati dan diri kita 100%.. Andai benar, syabas tetapi andai tidak bagaimana??

Hubungan lelaki dan wanita adalah fitrah. Percayalah apabila sudah dikatakan fitrah,ia akan hadir dan muncul sendiri. Tidak perlu untuk mencari dan mempelajari fitrah ini. Kekok,segan,malu,gelabah, atau mugkin 1001 lagi perasaan yang kita akan alami. Tetapi percayalah, andai kita serahkan segala urusan padaNya pasti dia akan mempermudahkan semuanya..

Bolehkah lelaki dan wanita bersahabat?? Anda cari sendiri jawapannya.. 

Thursday, January 29, 2009

Di mana penghujung perjalanan kita??

assalamua'laikum..
harap sahabat2 semua sehat.. Very Happy
Meniti usia yang semakin dekat dengan hari kematian menyebabkan kadang2 diri terfikir dimanakah nanti penghujung kehidupan ini..

Bagaimanalah penghujung destinasi pengembaraan sebagai musafir di Buminya?? Dimanakah kaki ini akan bertapak,di syurgaNYA kah, di NerakaNYA kah?? Sad Firman ALLAH : "..Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.." (surah ali imran:185) Usia yang menjangkau 22 tahun ini belum tentu menjadi satu jaminan insuran yang melayakkan kita tergolong dalam golongan ashabul yamin.. Muhasabah, koreksi atau gunalah apa2 sahaja istilah.. maksudnya tetap sama.. Timbang tara kembali amalan kita.. 22 tahun, beratkah timbangan kanan kita, ringankah timbangan kiri kita?? Crying or Very Sad





"الأعمال بالخواتم"
Amalam kita yang akan menentukan pengakhiran hidup kita.. Baik amalan kita, baikla pengakhiran kita, buruk amalan kita?? fikirlah sendiri.. Rasulullah s.a.w saidul khulq yang telah dijamin sebagai penghuni syurga,kekasih yang MAHA AGUNG masih lagi berdoa supaya ditetapkan hatinya dalam agama Islam..

Bagaimana kita?? disini saya nak berkongsi doa yang sentiasa diamalkan oleh kekasih ALLAH ini..

"يا مقلب القلوب ثبت قلوبي على دينك وعلى طاعتك"
mafhumnya " Ya ALLAH tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada agamaMu (Islam) dan tetapkanlah diriku pada ketaatanMU "

amalkanlah doa ini setiap kali berdoa. Dilahirkan Muslim, abah&emak Islam belum tentu menjadikan kita mati sebagai pemegang mykad yang beragama ISLAM..

sama2 doa moga2 kita,abah emak,adik beradik,saudara-mara serta seluruh orang yang kita sayangi mati sebagai Muslim dan dimatikan dalam keadaan Khusnul Khatimah.. ameen Smile

salam mujahadah..
::Mantapkan Iman, Perbaiki Amalan::

Kembara Musafir...

Assalamualaikum..
sehat semua.. saje je nak memanfaatkan cuti sem ni..

Kata Tuan Guru Nik Aziz...
" Kita semua adalah musafir di Bumi ini.. Sebagai musafir tentulah kita perlukan bekalan dan tempat berehat.. Jangan terlalu mengejar destinasi sampai terlupa melihat dan memenuhi bekalan.. Perjalanan panjang.. Kadang2 kita perlu berehat di pohon yang rendang tapi jangan terlalu lama sehingga kita terlupa untuk meneruskan perjalanan.. "

Begitulah juga signifikannya kita hidup di dunia sebagai seorang MUSAFIR.. Destinasi kita adalah akhirat.. tapi kadang2 kita terlupa mengupdate bekalan kita..Amal ibadah perlu diperbaiki, yang sunat ditambah moga2 bertambah barakah dalam hayah(hidup).. Tapi kadang2 bila kita sibuk menambah bekalan jangan pula terlupa untuk meneruskan perjalanan.. Bekerja untuk Islam,itu hadaf utama sebagai Muslim.. apa guna hebat amalan,faqih dalam ad-din,tinggi jawatan,lumayan pendapatan namun sumbangan untuk Islam hanya anganan2 yang tak jadi kenyataan..

Ingatlah Pesan Baginda.. Sabda Sallahu'alaihi wassalam.. " Sesungguhnya Dua pemburu yang tidak akan kenyang adalah Pemburu Ilmu ( Sohibul Ilmu) dan Pemburu Dunia ( Hubbun Dunnia).. pemburu ilmu semakin ia mencari ilmunya semakin dekat dirinya dengan ALLAH sebaliknya Pemburu dunia semakin ia mencari dunianya semakin jauh dari ALLAH dan semakin bertambah kemurkaan ALLAH "

Imbas kembali tugas Sebagai Musafir.. Amal dan Ilmu .. Bekalan yang penting dalam perjalanan kita. Yang penting paksikan setiap Niat dan Amalnmu hanya untuk si Pencipta..

Carilah 'Ibrah(pegajaran) dalam setiap inci kejadian dirimu.. Latihlah diri untuk sering bertanya apa yang mampu aku lakukan untuk Islam..

:: Salam Kembara, Salam Mujahadah ::