Thursday, April 9, 2009

Maqasid Syarie

Assalamualaikum..

Maqasid Syariah

Islam agama rahmat. Buktinya, Allah s.w.t mengutuskan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w untuk menyempurnakan kehidupan manusia serta menyeru kepada mentauhidkan Allah s.w.t. Muslim yang mukallaf telah diberi taklifan melaksanakan tanggungjawab yang telah disyariatkan olehNya. Namun, sedar atau tidak, segala hukum-hakam yang telah disyariatkan adalah untuk menjauhi kerosakan atau memelihara kemaslahatan atau kedua-duanya. (درء مفاسد أو جلب مصالح)


Menurut ‘Allal al-Fasi dan doktor Wahbah Zuhaili : Maqasid Syariah adalah maksud, matlamat dan rahsia disebalik setiap hukum yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Kehidupan manusia berkaitan dengan tiga perkara.

Pertama dikenali sebagai “Daruriat” iaitu asas kehidupan manusia, jika hilang atau rosaknya keadaan ini ianya menjejaskan sistem kehidupan manusia. Terdapat 5 komponen dibawah “Daruriat”.

(1 Memelihara Agama : Islam mensyariatkan Jihad untuk menjaga agama, hukuman bunuh bagi orang yang murtad, kewajipan berdakwah, menjauhi Mufti yang jahil kerana dapat merosakkan aqidah manusia

2) Memelihara Diri : Pensyariatan Qisas, menghalalkan memakan bangkai ketika darurat, mengaharuskan makan dan minum serta pensyariatan perkahwinan.

3) Memelihara Aqal : Allah mengharamkan arak dan menerangkan implikasinya pada aqal,diri dan masyarakat, bahaya merokok dan dadah, kefardhuan menuntut ilmu bagi menjauhi kejahilan.

4) Memelihara Nasab Keturunan : Memelihara institusi perkahwinan, mengharamkan zina serta menjelaskan hukumannya, tidak boleh menggugurkan kandungan tanpa sebab, menjatuhkan hukuman had kepada jenayah qazaf, mengharamkan penghinaan kepada muslim yang lain tanpa sebarang alasan munasabah.

5) Memelihara Harta : Pengharaman terhadap pembaziran, mengharamkan mengambil harta orang lain dan riba’, menjatuhkan hukuman had kepada pencuri dan perompak.


Perkara kedua dikenali sebagai “ Hajiat” iaitu kehendak yang diperlukan oleh manusia untuk menjalani kehidupan yang lebih mudah dan selesa. Namun, ketiadaannya tidak menjejaskan system kehidupan manusia tetapi menyebabkan sedikit kesulitan dan kesukaran.

1) Didalam Ibadat : Islam mensyariatkan rukhsah ketika berhadapan dengan kesukaran seperti mengharuskan berbuka kepada orang yang sakit dan musafir dibulan Ramadhan, solat jama’ dan qasar jika berjalan melebihi 2 marhalah

2) Didalam Muamalat : Membolehkan jual beli berbentuk tempahan yang pada asalnya tidak dibenarkan kerana berniaga tanpa wujud barang jualan, sistem Mudhrabah dan Ijaarah (sewa).

3) Didalam Adat : Makanan,minuman,pakaian,tempat tinggal yang elok dan sempurna.

4) Didalam Jenayah : Sistem ‘Aqilah didalam pembayaran Diah(wang ganti rugi) dalam jenayah pembunuhan dimana keluarga pembunuh sebelah bapa turut membantu dalam membayar diah tersebut.


Perkara ketiga adalah “Tahsiniat” iaitu bukan keadaan darurat atau hajiat. Ia keadaan yang lebih baik, pada kebiasaannya,lebih elok,lebih mudah dengan pelbagai pilihan dan penambahan. Walaubagaimanapun, ketiadaannya tidak menjejaskan sistem kehidupan manusia atau menyebabkan kesulitan tetapi terkeluar sedikit dari norma kehidupan atau keadaan fitrah yang sempurna.

1) Didalam Ibadah : Islam menggalakan kebersihan terutama pada tubuh badan dan pakaian serta menjadikannya sebagai syarat sah solat. Menutup aurat dengan sempurna, berhias dan memakai wangian ketika ke masjid.

2) Didalam Muamalat : Mengharamkan jual beli atas jual beli orang lain, mengharamkan membunuh wanita dan kanak-kanak ketika peperangan

3) Didalam Adat : Memakai pakaian yang berwarna-warni dan pelbagai jenis, beradab ketika makan dan minum, tidak dibenarkan makan dan minum makanan yang kotor.

4) Didalam Jenayah : Wali kepada si mati memaafkan pembunuh sekaligus menggugurkan hukuman Qisas, memotong tangan pencuri sehingga putus supaya dia tidak menanggung kesakitan yang lama.


___________________________________________________________________________________
Rujukan : Kitab Maqasid Syariah Islamiah wa dirasat Usuliyah wa Tatbiqat Fiqhiah, Doktor Ziad Muhammad Ahmaidan.
: Kitab Madkhal ila Tasyri’, Doktor Abdul Karim Zaidan.

1 comment:

Amar san said...

jazakallahukhair.. ana tgh cari bahan tentang maqasid syariah ni.. tima kasih kerana sudi berkongsi..

wslm