Tuesday, August 31, 2010

Busana Muslimah dan Bonggol Unta

assalamualaikum..

Minggu lepas saya ke perpustakaan fakulti undang-undang di UM. saya solat asar dahulu sebelum pulang ke rumah. saya solat seperti biasa, keadaan musollah juga seperti biasa. selesai solat, saya bersiap-siap untuk pulang. sewaktu melipat telekung, saya terdengar perbualan di antara tiga sahabat ini. Bukan tujuan untuk mengumpat tetapi ingin mencari ibrah bagi kita semua untuk sama-sama kembali bermuhasabah..

" wow tingginya bonggol rambut ko, mesti panjang kan rambut "
" taklah, aku pakai ni ha, bonggol palsu. tulah semua orang ingat rambut aku panjang, sampai ada yang kata rambut akulah yang paling panjang dalam office "
" laa yeke.. ingatkan rambut betul "
" hehehe inilah rahsianya. ala artis-artis tu pun pakai jugak. ko ingat rambut diaorang tu panjang sangat ke"
"oo .."


begitulah hiwar antara tiga sahabat ini - lebih kuranglah, nak ingat kembali ayat sebijik-sibijik panjang pula..

dan saya tertarik untuk berkongsi dengan artikel ust hsarizal ini.. isunya yang lebih kurang sama.. Fenomena busana Muslimah dan Bonggol Unta..


Busana Muslimah : Di Mana Islamnya?




“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!”

Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?

Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing?

Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah.

Itulah BUSANA MUSLIMAH.


LANDSKAP 1990′AN

“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat.

“Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.

“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya.

“Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok perbincangan.

Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang.

Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.

Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.

Tudung juga tidak banyak jenis.

Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.

Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.


LANDSKAP SEMASA

Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.

Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya.

Baguslah begitu.

Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.

Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.



PENTAKRIFAN


“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…” [al-Ahzaab 33: 33]

Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?

Bagaimana dengan batas-batas Aurat?

Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?

Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.



Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “[Hadith riwayat Muslim]

Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?



Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!

Di manakah Islamnya?

Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.

Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.

Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?

Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.


BEBAS

“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul.

“Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya” tegas seorang yang lain.

Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.

Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang menyeronokkan (lagi menguntungkan).

Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya.

Kami cemburu dengan agama kami.

BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.




Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33: 36]

FULL STOP!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

:: sama-sama kita berdoa moga kita sentiasa dipelihara Allah.. Takut menjadi golongan yang sesat dan menyesatkan ::

Wednesday, August 11, 2010

~ ramadhan kareem ~

assalamualaikum..

moga kita lebih rajin bekerja dari bulan-bulan sebelum ini..
moga kita lebih ceria dan gembira dari hari-hari sebelum ini..
moga kita extra rajin beribadah dari waktu-waktu sebelum ini..
dam moga kita lebih kuat dan sabar menahan nafsu dan sifat mazmumah..

~ Ramadhan Kareem ~ Kullu am wa antum bi alf khair

Friday, August 6, 2010

Benarkah ia bulan tarbiyah??

assalamualaikum..

Tidak lama lagi kita bakal didatangi bulan penuh keberkatan, bulan Ramadhan. Alhamdulillah kita masih diberi peluang bertemu dengannya kembali namun untuk berapa lama bersamanya kita juga tak pasti..

Apabila tiba Ramadhan, bukan sahaja penuh jemaah di masjid atau surau tetapi penuh juga jemaah di bazaar-bazaar Ramadhan,kedai-kedai pakaian dan shopping complex.. Malah lebih hebat lagi sebelum Ramdhan menjelma apatah lagi Syawal, promosi hari raya telah pun diadakan.

Saya berfikir sejenak, bulan yang dikatakan sebagai madrasah tarbiyah bagi umat Islam ini benar-benarkah berjaya mendidik jiwa dan hawa nafsu mereka atau bulan ini lebih menjadikan hawa nafsu bermaharaja lela??!!


Entah mengapa saya risau melihat gelagat masyarakat yang sanggup berhabisan wang untuk membeli langsir baru, baju raya berpasang-pasang yang bukan calang-calang harganya, juadah berbuka yang pelbagai hingga ada yang terpaksa dibuang kerana kekenyangan.

Mengapa ibrah Ramadhan tidak dihayati agar bisa menjadikan insan yang tidak lupa diri. Benarkah kita merasai kemiskinan dan kebuluran si miskin yang kekurangan makanan sedangkan kita tersandar kekenyangn selepas berbuka?? Betulkah fakta yang mengatakan bulan ini dapat meningkatkan kesihatan, dapat merehatkan sistem penghadaman kerana kita kurang makan?? tetapi kita lupa tatkala berbuka perut yang kosong disumbat pelbagai jenis makanan sehingga memaksa perut kita bekerja lebih dari hari biasa..

Itulah kehebatan Ramadhan.. Bagi yang berfikir dan berzikir, ia pasti dapat menilai dan membentuk diri agar menjadi manusia yang lebih dekat dengan Ilahi bukan untuk sebulan ini tetapi selamanya nanti.. namun bagi mereka yang leka, yang merasakan ia tidak ubah seperti Ramdahan yang lalu, akan terus dibelenggu nafsu yang tidak pernah jemu dengan kenikmatan dunia yang palsu.

Apapun sama-sama kita berdoa moga hidayah Allah akan terus memacu kita ke jalan yang diredhaiNya.. Moga amalan kita diterima dan miga istiqamah dalam melakukannya sebelum ini akan terus berjalan merentasi Ramdahan dan bulan-bulan yang lain.. Selamat menyambut Ramdhan al-Mubarak.. Ramadhan Kareem..

Monday, July 19, 2010

~ GHURABAK~

Assalamualaikum..

Ghurabak atau orang asing. Melihat maksudnya sahaja kita boleh tahu menjadi ghurabk bukan mudah. Menjadi yang pelik memang unik. Tetapi menjadi ghurabak di dalam keluarga sendiri, masyarakat setempat, tempat kerja malah dikalangan rakan-rakan menyebabkan bukan semua yang mampu menjadi ghurabak, lantas ramai yang bertukar menjadi 'Adi atau biasa..

" Kenapa pakai tudung labuh, tak sesuai lah, macam makcik-makcik je. pakai la tudung fashion sikit, sekarang kan ada tudung yang sarung je tu, siap ada manik-manik lagi, tutup aurat jugak, tak jarang "
omel seorang sahabat kepada dirinya..

" Kenapa tak pakai seluar masa gi jalan-jalan?? Asyik baju kurung je, tak up to date la ko ni. Apa salahnya sekali sekala, senang sikit nak melangkah "
Ini mungkin sebahagian ceritera mereka yang dipandang pelik atau kolot oleh kebiasaan orang. Bagi mereka, bukan mudah untuk mempertahankan apa yang mereka ada terutama identiti mereka. Malah jika yang tidak kuat, pastinya mereka tewas dan mengikut kehidupan biasa yang telah sebati dalam kehidupan masyarakt di sekeliling..



Teringat pengalaman seorang sahabat yang mengikuti program PLKN. sewaktu hari pertama mendaftar, belia menjadi perhatian semua peserta dan cikgu-cikgu (panggilan pada jurulatih PLKN). Bukan kerana berseluar dan ber T-shirt, atau berskirt tetapi kerana hanya beliau satu-satu peserta PLKN yang berbaju kurung dan bertudung labuh. Pada mulanya belia berasa amat segan kerana menjadi perhatian, namun dengan doa, semangat dan keazaman yang ada beliau menguatkan diri untuk kekal dengan penampilan yang begitu. Di pendekkan cerita, sejak itu, beliau mendapat jolokan 'ustazah' oleh rakan-rakan dan cikgu-cikgu..

Sungguh besar hikmah yang sahabat saya rasakan kerana menjadi 'ghurabak' di kemnya. Alhamdulillah beliau terjaga dari gurau senda yang tiada batasan, usikan yang kadang kala keterlaluan dan terselamat darai terjebak dengan 'cinta kontarak' yang sememangnya popular bagi mereka di PLKN.

Di hujung kem,sebelum pulang ke rumah selepas tamat sesi latihan, beliau dipanggil oleh seorang cikgu perempuan. Pada mulanya beliau berasa agak bimbang memandangkan yang memanggilnya adalah di antara cikgu yang paling garang, takut-takut beliau membuat kesalahan. Namun, sangkaan sahabat saya meleset. Tiba-tiba cikgu tersebut memberinya hadiah cawan yang bertulis " Tahniah, teruskan berusaha dan menjadi diri sendiri. Selamat maju jaya "

Pelik. Tapi rupa-rupanya segala perlakuan sahabat saya menjadi perhatian cikgu tersebut dari hari pendaftaran hingga ke hujung sesi di kem tersebut. Cikgu tersebut rupanya bangga kerana sahabat saya memakai pakaian tersebut di usia muda dan pandai menjaga diri. Dia berharap agar kawan saya kekal dalam keadaan begitu dan menjadi insan yang cemerlang..

Itu kisah sahabat saya yang saya rasa ada manfaatnya untuk saya kongsikan. Hakikatnya, memang tidak mudah menjadi orang asing. Menjadi muslimah solehah juga satu jalan berliku yang perlu kita tempuhi.. Alhamdulillah dan tahniah bagi mereka yang masih memakai tudung labuh, tudung besar (atau apa2 sahaja istilah yan sewaktu dengannya), tidak segan berjubah dan berbaju kurung di saat fashion wanita 'muslimah' kini lebih kedepan dan ekslusif..

Doa saya, moga diri ini juga diberi kekuatan untuk terus berusaha menjadi hamba yang beriman dan bertaqwa. Namun, ingin saya jelaskan bukanlah bermakna bertudung bawal berseluar tidak muslimah, tidak sama sekali. Yang penting sebelum keluar rumah, lihat di depan cermin tanya iman kita, adakah ini benar-benar 'jilbab islami'.. Saya sendiri masih kekurangan yang kadang-kadang terpaksa 'berperang' dengan keadaan sekeliling, yang mana kadang-kadang kita kuat setegar karang di lautan, namun kadang-kadang kita lemah tidak berdaya..

Tarbiyah is a process.. bukan mudah menjadi sempurna, jangan mudah merasa diri sempurana dan ingat, kita bukan insan yang sempurna kerana kita bukannya insan yang maksum, insan yang telah dicuci hatinya oleh malaikat dengan air zam-zam.INGAT jangan suka melabel orang berdasarkan penampilannya, jauhkan sifat suu' zhan di dalam hati kita..




:: Iman tak dapat diwarisi, ia perlu didalami, difahami, dihayati kemudian diamali ::

Wallahua'lam.

Monday, June 28, 2010

Kontrak dan perjanjian-perjanjian perkahwinan menurut hukum Undang-undang Keluarga Islam

assalamualaikum..

Sekadar perkongsian perbincangan di dalam kuliyah saya..





 Perkahwinan
- Definisi menurut Syirian, Iraqi and Jordanian Codes : Perkahwinan adalah kontrak (aqad) diantara seorang lelaki dan wanita yang layak dan halal dikahwini bertujuan untuk hidup bersama dan melahirkan zuriat

 Persedian perkahwinan
- Pertunangan (khitba) adalah permulaan sebelum melakukan kontrak perkahwinan, dimana seorang lelaki meminang seorang perempuan untuk berkahwin. Kesahihan pertunangan dinilai dengan melihat kedaan kedua-dua pasangan – bukan didalam iddah, bukan isteri orang dan bukan tunangan orang lain.
- Pertunangan atau perjanjian untuk berkahwin tidak boleh dianggap sebagai satu perkahwinan dan tidak boleh dibindingkan.
- Menurut undang-undang Syiria :
1) Lelaki mestilah membayar mahar secara tunai dan pihak perempuan akan membelanjakannya untuk membeli perabot, tetapi jika pihak lelaki meminta kembali, pihak perempuan perlu memulangkannya samada dengan wang atau barang-barang yang telah dibeli.
2) Jika pihak perempuan yang memutuskan pertunangan, dia perlu memulangkan mahar atau nilai yang sama dengannya.
3) Hadiah-hadiah akan dikira sebagai pemberian, tidak dipulangkan.


 Rukun dan Syarat Kontrak Perkahwinan
A. Rukun : Ijab dan Qabul
- Menurut imam Syafie, lafaz ijab dan qabul estilah menggunakan lafaz “inkah,tazweej” dan mesti didadalam bahasa Arab.
- Sebaliknya imam-imam yang lain tidak meletakkan bahasa arab sebagai rukun, dan di negara arab yang lain, lafaz ijab dan qabul diterima dalam apa sahaja perkataan yang membawa maksud kepada keduanya itu.

B. Syarat Kelayakkan
i. Mempunyai kemampuan dan kelayakkan yang mencukupi menurut undang-undang seperti keadaan kewangan yang kukuh
ii. Mestilah akil baligh dan mencapai umur dewasa contohnya seperti Tunisia : Kontrak perkahwinan tidak akan terjadi diantara lelaki berumur dibawah 20 tahun dan perempuan dibawah 17 tahun kecuali dengan kebenaran mahkamah. Jordan : jarak umur diantara pasangan mestilah tidak melebihi 20 tahun jika perempuan tersebut berumur dibawah 18 tahun.
iii. Waras

C. Wali Perkahwinan
i. Wali ijbar dan wali an-nadb
o Walaupun kedua-dua pihak telah cukup syarat, namun pihak perempuan tidak boleh menjalankan perkahwinan sendiri samada masih dara atau janda.
o Hanafi tidak mensyaratkan wujudnya wali didalam sesebuah perkahwinan.
o Morocco menghalang kuasa authority wali untuk memaksa anak perempuan berkahwin tanpa kerelaan, hakim berhak untuk campur tangan bagi memutuskan samada ia layak atau tidak untuk berkahwin dengan melihat kondisi pihak lelaki.

ii. Wali Hakim
o Bagi mereka yang tidak mempunyai wali dan mereka yang memintanya sebagai wakil untuk menjalankan upacara aqad nikah, tugasnya selesai sebaik sahaja sahnya aqad nikah.

 Syarat Kesahihan Kontark Perkahwinan
1. Saksi
- Dari Aisyah radhiallahuanha : “Tiada pernikahan kecuali dengan wali dan 2 orang saksi”
- Di Syiria : ia adalah syarat sahnya sesuatu perkahwinan.
- Syarat saksi :
a) 2 orang lelaki atau seorang lelaki dan 2 orang perempuan.
b) Dewasa
c) Waras
d) Merdeka
e) Boleh mendengar dan memahami Ijab&Qabul
f) Islam

2. Perempuan yang halal dikahwini : Bukan saudara susuan, adik beradik, isteri orang, didalam eddah, berlainan agama dan lain-lain sebab.
3. Borang
- Syarat-syarat yang terdapat didalam kontrak perkahwinan mestilah diaplikasikan serta merta selepas sahnya aqad.
- Borang ini mengandungi syarat dari kedua-dua atau sebelah pihak pasangan pengantin ( sila lihat lampiran bagi jenis-jenis kontrak&syarat serta contoh borang kontrak-surat aqad nikah-)
- Panduan Syarat-syarat didalam kontrak perkahwinan :
a) Jika isteri mengemukakan syarat yang bertujuan untuk melindunginya mengikut undang-undang & supaya tidak dipinggirkan kerana pihak ketiga, maka syaratnya sah dan dibindingkan, perlanggaran syarat membolehkan isteri menuntut cerai. Contoh : tidak akan keluar dari bandarnya, suami tidak boleh berkahwin lain.
b) Syarat yang diletakkan suami yang bertujuan untuk melindunginya mengikut undang-undang & supaya tidak dipinggirkan kerana pihak ketiga, maka syaratnya sah dan dibindingkan, perlanggaran syarat membolehkan suami menceraikan isterinya. Contoh : Isteri tidak boleh keluar bekerja diluar kawasan.
c) Syarat yang mempunyai maslah biasanya syarat yang bertentangan dengan undang-undang. Contoh: tidak tinggal serumah, boleh minum arak, maka syarat seperti ini akan terbatal tetapi kontrak perkahwinan masih lagi sah.

4. Tiada tempoh tamat kontrak : Aqad perkahwinan yang mempunyai tempoh dikenali sebagai mutaah.
5. Mahar
- Mahar sunat dibayar semasa aqad nikah, samada mahar mithil atau musamma.
- Menurut Islam minima mahar adalah 10 dirham @ 35 gram perak
- Contoh pembayaran mahar : 10 ribu, mengikut syarat perjanjian 4 ribu dibayar sebelum aqad (mahar muqaddam) dan 6 ribu dibayar semasa aqad ( mahar muajjal)

6. Kafaah (suitability)
- Dilihat semasa aqad nikah dan menjadi syarat bagi pihak lelaki.
- Definisi kaffah dinilai melalui :
a) Kesolehan dan akhlaq yang baik
b) Pekerjaan yang baik dan sesuai
c) Harta : Cukup untuk menampung perbelanjaan isteri dan keluarga
d) Keturunan atau asal usul
e) Beragama Islam
- Sebenarnya ia berperanan penting apabila seseorang perempuan berkahwin tanpa kebenaran dari walinya dan mempunyai beberapa keadaan:
a) Jika perempuan berkahwin dengan lelaki yang tidak sekufu dengan izin wali – kontrak perkahwinannya sah
b) Jika perempuan berkahwin dengan lelaki yang sekufu & mahar mithal tanpa izin wali – kontrak perkahwinannya sah dan pihak keluarga perempuan tiada hak untuk membatalkannya
c) Jika ayah mengahwinkan anak perempuannya (baligh&waras) dengan lelaki yang tidak sekufu tanpa kerelaanya : Kontrak perkahwinannya tidak sah






 Kesan Perkahwinan
Ulama’ membahagikan hukum kontrak perkahwinan kepada 3 :
1) Valid Contract ( sahih)
- Kontrak atau aqad yang dapat memenuhi semua kehendak dan syarat kesahihannya.
- Pelaksanaanya boleh menjadi serta merta (effective) dan tergantung (suspended) apabila melalui wakil yang memerlukan persetujuan wali, jika tidak ia mungkin menjadi perkahwinan yang fasid
- Kesan kontrak :
a) Suami isteri hendaklah menjalankan tanggungjawab masing-masing mengikut syara’
b) Suami wajib menyediakan keperluan asas didalam sesebuah rumahtangga
c) Terjadinya pengharaman perkahwinan disebabkan pertalian : mertua dan menantu
d) Suami perlu menyediakan nafkah dan menjaga kebajikan anaka-anak
e) Hak mewarisi harta
f) Menyediakan kos rawatan perubatan


2) Irregular Marriage ( fasid)
- Kontrak atau aqad yang dapat memenuhi semua kehendak tetapi ada kekurangan didalam syarat kesahihan kontrak. Contoh : perkahwinan diantara adik beradik susuan tanpa pengetahuan kedua-dua belah pihak.
- Mengikut undang-undang Jordan, sesuatu kontrak perkahwinan dianggap fasid apabila:
I. Kedua-dua atau salah satu pasangan hilang kelayakkan untuk berkahwin
II. Tiada saksi
III. Saksi tidak mengikut syarat yang ditetapkan syara’
IV. Kes yang menyalahi undang-undang – perkahwinan saudara sesusuan
V. Mutaah atau perkahwinan sementara
VI. Aqad mempunyai unsure-unsur paksaan.
- Kesan kontrak:
a) Perlu berpisah
b) Perempuan berhak mendapat mahar
c) Iddah mengikut perceraian biasa atau iddah kematian suami jika suaminya meninggal dunia
d) Hak penjagaan anak mengikut keadaan –hak suami jika anak lahir 180 hari dari tarikh aqad menjadi fasid
e) Pengharaman sebab wujud pertalian
f) Tidak ada hak dalam mewarisi harta pasangan masing-masing



3) Void (Batil)
- Perkahwinan yang menafikan kehendak dan syarat kesahihan kontrak. Ia terbatal apabila :
I. Perkahwinan diantara perempuan Islam dengan bukan Islam
II. Perkahwinan diantara lelaki Islam dengan bukan ahli kitab
III. Perkahwinan diantara lelaki dan perempuan yang diharamkan untuk berkahwin samada sementara, selamanya atau kerana pertalian perkahwinan.


Rujukan :
1) Jamal J Nasir,(1986), The Islamic Law of Personal Status, London: Graham & Trotman Inc. page :38-76
2) Hedaya Hartford & Ashraf Muneeb, (2001), Your Islamic Marriage Contract, Damsyiq : Dar al-Fikr, page : 12-26