Monday, July 20, 2009

Kita akan bertemu lagi

assalamua'laikum..

Sejuk pagi ni. Langit kelihatan mendung. Rupanya jam 11 pagi ni hujan sanagt lebat turun, belakang rumah "banjir" jugak lah. Pagi ni pagi terakhir bersama kak timah. Pagi ni jam 8.15pagi kak timah akan kembali ke Sarawak. Sedih, tapi ini lah resam dunia. Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan.


Jam 4.45 pagi saya, abah dan mak ke KLIA untuk menghantar kak timah. Selepas chek in jam 5.45 pagi, kami ke surau menunaikan solat Subuh. 6.45 pagi kak timah memasuki balai perlepasan dalam negeri. Air mata bergenang. Sebak kerana akan berpisah denagn 'jiran Jordan" ini. Insya allah ada rezeki kami akan berjumpa lagi ye kak timah. Yang penting kak timah kahwin jangan lupa jemput kamekorang ;)


Pulang dari KLIA, abah singgah warung berdekatan dengan rumah kami. Kami bersarapan di sana. Tetapi hati tiba-tiba menjadi sedih melihat sekumpulan pelajar leleki sekitar umur 13 ke 15 tahun duduk melepak di warung tersebut. Hairan, jam sudah menunjukkan 8 pagi, mereka ni tak ke sekolah ke?? Tambah menyedihkan mereka turut merokok, dua batang barang kali, bertukar-tukar sesama mereka. Di mana silapnya?? Rasa risau menerjah ruang pemikiran. Saya juga mempunyai seorang adik lelaki berusia 15 tahun. Bagaimana agaknya dia pagi ini, ke sekolah atau tidak.


Teringat perbualan saya bersama Nadia semalam. Kalau ikutkan hati rasa seronok lagi tinggal di Jordan, macam tak nak balik. Tetapi bila memikirkan situasi di Malaysia lebih memerlukan kami merasakan kepentingan dan keutamaan untuk berada di sini. Pulang untuk membantu masyarakat Melayu Islam di sini. Membantu masyarakat. Ya, sebab inilah membuatkan kami perlu mencari ruang dan peluang untuk memberi bantuan yang kami mampu.


Doakan saya dan rakan-rakan dapat mengaplikasikan ilmu akademik dan ilmu kehidupan yang kami pelajari di sana untuk digunakan di Malaysia.

p/s : seronok rasanya dengar bunyi hujan lebat. Rindu dengan suasana ini.

Friday, July 17, 2009

Dunia Baru

assalamua'laikum..

Alhamdulillah hari ini masuk 4 hari saya telah berada di tanah air. Rasa seperti tidak percaya bahawa saya dan rakan-rakan telah kembali ke Malaysia. Suasana kini telah berbeza, kadang-kadang rasa takut timbul dalam diri. Kuatkah aku untuk berhadapan dengan ragam masyarakat dan karenah Umat Islam di Malaysia??
Dahulu sewaktu sedang menutut di Jordan, saya sering membayangkan bagaimana kehidupan saya setelah tamat belajar. Kini saya berada di posisi yang dibayangkan suatu ketika dulu. Nyata bayangan dan anganan yang diimpikan tidak mudah untuk digapai.

Hari ini saya dan Nadia selesai berurusan di Block C1, bangunan JPA di Putrajaya bagi mengiktiraf ijazah kami. Alhamdulillah, urusan yang tak merumitkan dan menyusahkan tapi sedikit memenatkan dan sijil kami telah diiktiraf. Maklumlah cuaca panas di Malaysia tak sama dengan Jordan. Minggu depan kami akan ke JAIS bagi urusan claim duit tiket dan elaun buku ( katanya akan diberi, kalau dapat alhamdulillah ^_^ )

Sewaktu berurusan di Putrajaya dan JAIS, saya berjumpa pelbagai generasi dan lapisan masyarakat. Apa yang dilihat, ditafsir di fikiran membuatkan kata hati berbicara. Ditambah pula perbualan denagn abah malam tadi tentang "kerosakkan" orang Melayu meresahkan diri saya. Entah, saya tiba-tiba merasakan tanggungjawab ini berat. Memasuki " Dunia baru " ini memang memerlukan teman agar kita tidak keseorangan. Pesanan buat mereka yang masih di Jordan atau di luar Malaysia, carilah bekalan yang cukup agar kalian mampu membina perisai untuk berdiri teguh di tanah air. Perkara baru yang saya baru benar-benar rasai.



Saya tiba di KLIA sekitar jam 11 malam. Alhamdulillah semuanya ok cuma beg Nadia tersangkut di Bangkok, tapi dah dapat esoknya. Malam tu, saya tak rasa penat sangat, mungkin seronok agaknya. Terkejut juga melihat adik lelaki saya yang bongsu, Shakir semakin tinggi, 170 cm pada umur 15 tahun. Saya tiba di rumah sekitar jam 1.00 pagi. Mlam tu saya bersembang denagn mak. Lama tak borak panjang dengan mak. hampir jam 4.30 pagi baru saya dan mak melelapkan mata.

"Bukan senang Ngah nak bela anak perempuan ni. Betul la cakap orang kat mak dulu, Mus nanti bila ko dah ada anak , tidor pun tak bleh lena dah. Mata pejam tapi fikiran tu sentiasa pikir hal anak-anak. Makin ramai, makin banyak kerenahnya .." itulah antara isi perbualan kami. Huh!! macam-macam terfikir di kepala ni.


Pesan saya pada diri, adik beradik ku dan kalian yang bergelar anak, jagalah diri dan maruah ibu bapa kita di mana-mana kita berada. Benar, iman tak dapat diwarisi. Saya juga takut andai tersilap langkah. Sama-samalah kita doa agar ibu bapa kita berada di dalam golongan yang di redhoiNya.

:: Marilah menjadi anak yang membahagiakan ibu & ayah ::

Saturday, July 11, 2009

Sentiasa dihati ^_^

assalamualaikum.




pejam celik sudah hampir 4 tahun saya dan rakan-rakan berada di bumi Jordan. Bermastatutin sementara sebagai pelajar di sini. Datang dengan membawa harapan mak abah dan amanah dari MAIS , kini pulang untuk memberi apa yang telah kami perolehi..

Pagi ini merupakan pagi terakhir saya di sini. Rasa sayu mula bersarang dihati yang sudah bermacam-macam perasaan. Sungguh, nikmat Allah itu terlalu banyak tak mampu untuk kita menghitungnya.



kebetulan yang cukup bermakna.

bila memikirkan kembali perjalanan ke sini, saya merasakan ia semuanya kebetulan. Kebetulan yang sebenarnya adalah taqdir yang telah ditetapkan oleh Dia. Kebetulan apabila ada satu lagi tempat kosong untuk ke Jordan setelah permohonan kali pertama tidak berjaya kerana kota telah penuh. Tetapi apa sahaja boleh terjadi tatkala Dia mahukan ia terjadi. Kebetulan berjumpa kawan-kawan lama di sini, teman seperkolahan dan kelakarnya rakan sekelas ^_^



terima kasih atas huluran ukhwah.

Hidup jauh dari family benar-benar menguji saya lebih-lebih lagi saya tidak pernah duduk di asrama dan belajar di luar Selangor. Dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah semuanya dekat atau kata lain semuanya depan mata.

kekok. blur. bosan. sensitif. kedekut.

itulah saya ketika mula-mula memulakan kehidupan. Maklumlah orang yang hidupnya tidak pernah berkongsi barang, ada tempat bergantung jauh dari keluarga membuatkan saya "sangat teruk" . tetapi saya bersyukur dikurniakan teman serumah yang banyak membantu. dan alhamdulillah semuanya telah berubah dari "sangat teruk" kepada "baiklah kot" ^_^

kepada akhwat di Jordan amnya dan irbid khususnya saya ucapkan terima kasih atas huluran ukhuwah sepanjang kita berkenalan di sini. Semalam ada sedikit "kebanjiran" tatkala saya dan Nadia mengucapkan selamat tinggal kepada teman-teman di Mafraq. Perkenalan kami singkat tetapi kasih dan sayang yang dirasakan amat mendalam.

Inilah manisnya ukhuwah islamiyah. dan mungkin kerana kemanisan yang sahabat-sahabat Nabi rasakan dahululah menyebabkan mereka sanggup bekorban apa sahaja demi sahabatnya.. hebat bukan persaudaraan Kaun Ansar dan Muhajirin satu ketika dahulu tetapi kini sayang ia semakin hilang kerana kita telah dijuzu'-juzu'kan agar semangat perkauman, semangat kenegerian semakin menebal dan kita semakin jauh.

buat semua, carilah kemanisan ukhuwah jika anda mahukannya. Ia tidak datang dengan sendirinya tetapi ia perlu dicari.



jordan mengajar erti pengorbanan dan penghargaan

" min ahla maliziya am urdun" (mana lagi cantik, malaysia atau jordan) soalan yang sering ditanya oleh kawan-kawan arab disini.
" tabaan malizia walakin urdun kaman hiilu " (tentulah malaysia tapi jordan pun ok je ) dan inilah jawapan yang selalu saya berikan.



Ye, Malaysia tentunya jauh lebih cantik andai dibandingkan dengan Jordan. tetapi pengembaraan ilmu di bumu anbiya' ini cukup bemakna. Dua elemen penting yang saya perolehi di sini memberi kesan yang besar dalam diri.

Bekorban demi adik junior, menyambut kedatang mereka dengan persediaan yang tidak seberapa. Belajar membantu orang lain, mengutamakan keperluan mereka sebelum keperluan diri. Bekorban masa lapang untuk membantu mereka yang memerlukan dan paling penting bekorban hati dan perasaan demi memberi laluan kepada keutamaan yang perlu diutamakan.

Menghargai air yang sememangnya cukup bernilai lebih-lebih lagi di musim panas, mengahargai kehidupan sederhana dan cukup-cukup, menghargai orang di sekeliling kita dan menghargai apa yang kita ada supaya kita lebih menjadi hambanya yang tahu bersyukur.

Alhamdulillah kerana Allah memilih saya untuk merasainya dan moga-moga ilmu pengorbanan dan penghargaan yang saya pelajari di sini dapat menjadi perisai buat nati agar cekal dan tabah dalam menghadapi kehidupan dan perjuangan sebenar di Malaysia.

Malam ini kami akan bertolak ke aiport, dan buat kali terakhirnya di sini. Andai ada jodoh kami di sini, insya allah kami pasti akan kembali lagi.

Doakan perjalanan saya dan rakan-rakan selamat hingga ke pintu rumah ^_^