Monday, June 22, 2009

Ya Allah, kuatkanlah dia..

Assalamualaikum..

Tiba-tiba mahu mencoretkan sesuatau pagi ini..

Bertemu dan berkenalan dengan beliau ketika kami sama-sama bekerja di dalam persatuan. Permai sesi o6/o7 menjadi tapak permulaan ukhwah kami. Ketika itu kami sama-sama berada di tahun 2, tugas yang berbeza, saya sebagai Timbalan Bendahari, beliau sebagai Timbalan Biro Kebajikan & Penerbitan..


Asma' Khalid..


Orangnya manis, nampak macam seorang yang tegas tetapi beliau seorang yang peramah. Bakat seni yang dimilikinya membuatkan saya kagum. Bakal doktor tetapi hebat menukis cerpen, melukis komik. Moga-moga jiwa halus yang dimilikinya bisa menjadikan beliau doktor yang lebih penyayang pada pesakitnya.

Pertengahan tahun 2007, desas desus berita bahawa beliau akan berkahwin sampai ke telinga saya dan rakan-rakan. Mula-mula saya rasakan ianya sekadar "gosip-gosip" di irbid, tetapi ketika hujung sesi kami di dalam persatuan, beliau menjemput semua ahli mesyuarat PERMAI ke walimahnya selepas selesai mesyuarat muhasabah.

Alhamdulillah.. Kami gembira sangat. Bersyukur sahabat kami ini sudah sampai jodohnya. Selesai mesyuarat, kami ke dapur menyiapkan jamuan untuk ahli mesyuarat. Persolan kami masih belum terjawab lagi, siapa bakal suami Asma' ye??

Asma' suruh kami teka. Macam-macam nama dah tercalon tapi satu pun tidak tepat. Akhirnya nama Aiman Rosli juga terkeluar dari mulut Asma'.. Alhamdulillah, kami bersyukur sekali lagi. Jodoh yang soleh insya allah.

Kini Asma' mengandung anak yang pertama. Ibu muda ini sedang sarat. Sepatutnya dah sampai due, tapi baby masih lagi belum sedia. Mungkin diwaktu ini Asma' dan suami dilanda keresahan, tambahan kuliyah Asma' untuk semester ini telah bermula..

Untuk Asma'..
Sabar ye ukhtie.. Kita sama-sama doa yang terbaik. Allah tak akan memberi bebanan yang kita tak mampu pikul. Allah tahu Asma' seorang yang kuat, Dia mahu mendidik Asma'. Allah sayangkan Asma'. Moga segala sakit, penat lelah Asma' selama 9 bulan lebih ini menjadikan amalan baikmu bertambah berat..

Kami doakan Asma'&Aiman sentiasa dirahmatiNya. Moga kalian dikurniakan anak-anak yang sihat, cergas dan menyejukkan hati ummi dan abinya..

Saturday, June 20, 2009

Masanya tiba jua.. Haflah Takhrij

assalamua'laikum..

Alhamdulillah ada juga masa untuk saya menulis petang ini. Jadual yang padat, pengembaraan yang bersambung-sambung dari 15 Jun hingga ke 20 Jun memang memenatkan tapi menyeronokkan.. Mungkin entry akan datang saya akan berkongsi pengalaman pengembaraan di bumi Syam ini..

Setelah hampir 4 tahun menghadapi liku-liku kehidupan bergelar penuntut ilmu di bumi anbiya' ini, akhirnya saya dan rakan-rakan berjaya menghabiskan ijazah kami yang pertama. Alhamdulillah berkat doa abah mak dan semua kami merasai kemanisan memegang segulung ijazah. Terima kasih ya Allah kerana mengizinkan kami mengecapinya.

17 Jun 2009 hari yang amat manis dalam hidup saya dan rakan-rakan seperjuangan. Hari graduasi kami pelajar-pelajar fakulti Syariah dan pengajian Islam Universiti Yarmouk kali ke- 30. Perasaan bercampur baur. Ada rasa gembira, sedih, takut dam macam-macam rasa dalam hati. Tak tahu nak digambarkan..


Gambar pentas dimana kami menerima ijazah


Rasa sekejap sahaja masa berlalu. Seperti semalam baru kaki ini melangkah keluar dari Airport Queen Aliaa, Jordan. Dikelilingi teman-teman baru, gurau senda kakak-kakak senior masih terbayang-bayang difikiran. 1001 pengalaman hidup saya rasai di sini..

Jam 2 petang majlis bermula. Bagi saya ini bukanlah kali pertama saya pergi ke majlis konvokesyen di Yarmouk. Kali pertama menghadirinya ketika senior kami dari IKIP khirij (grad) tahun 2006. Suasananya seperti pasar borong atau mungkin seperti menonton pesta bola di stadium.. Suasana hingar-bingar dengar suara pekikan, nyayian dan pukulan gendang yang kuat membuatkan telinga hampir pekak dibuatnya.. Tetapi inilah dia suasana haflah khirij di sini.


Keadaan di dalam Dewam Konvokesyen di Gym Khalid al-Walid


Ketibaan pensyarah-pensyarah Fakulti Syariah dan lain-lain


Kini, kami melangkah kembali di dewan konvokesyen ini. Bukan lagi untuk meraikan senior, tetapi untuk diri sendiri. Sewaktu ucapan wakil pelajar di atas pentas, hati saya sebak tatkala ucapannya mengucapkan tahniah kepada ibu bapa yang hadir di atas kejayaan anak-anak mereka. Air mata saya bergenang, cuba ditahan agar tidak gugur. Tiba-tiba teringat kepada emak dan abah di Malaysia. Alangkah seronoknya jika merka turut hadir, sama-sama berkongsi kejayaan ini..


Kenangan bersama Dekan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam - Dr. Omar Omari


Jam 2.40 petang majlis berakhir.. Sekejap bukan. lebih kurang 40 minit sahaja masa yang diambil untuk menyampaikan ijazah kepada lebih kurang 100 lebih graduan. Memang macam kartun. Selesai majlis, kami tak sempat untuk beredar keluar kerana tempat duduk kami diserbu oleh keluarga graduan-graduab Arab yang lain. Kami tersekat dicelah-celah kumpulan anak-anak muda yang berkumpul dan menari di tengah-tengah dewan.

Sesak..
Panas..
Letih..

Akhirnya dapat juga teman-teman diluar menemui kami. Kami sempat bersalaman dan bergambar sebelum diarahkan keluar kerana dewan mahu ditutup. Kami menyambung sesi fotografi di luar dewan. Penatnya mengalahkan model ditambah bahang matahari yang terik petang itu. Jam 4 petang kami beredar dari universiti setelah selesai bergambar bersama teman-teman dan ibu bapa yang hadir.


Bersama- sama keluarga Nadia dan kak Aimi


Terima kasih kepada yang hadir..

Terima kasih kepada yang sudi memberi bunga..

Terima kasih kepada yang membawa kamera dan mengambil gambar ^_^


Insya Allah kita jumpa lagi.. Kepada teman seperjuangan, ini bukan pengakhiran kita dalam menuntut ilmu tetapi ini adalah permulaan perjalanan kita..

Selamat melangkah ke alam yang baru..

Doakan kami berjaya. Moga ilmu yang diperoleh memberi manfaat buat diri dan ummah.

alf mabrook 'alaikum jamiaan..



Friday, June 19, 2009

Syura : Hikmah pensyariatannya di dalam Dunia Politik



assalamua'laikum





Syura pada maksud istilah adalah mengambil pandangan atau erti kata lain berbincang atau bermesyuarat. Pensyariatan syura oleh Allah s.w.t memberi banyak impak dalam kehidupan manusia khususnya umat Islam. Pendapat yang dikeluarkan dari sekumpulan orang selepas berbincang mengikut petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah menunjukkan Syura adalah salah satu tanda kesempurnaan aqal yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.


Allah mengambarkan sifat orang mu’min yang disukainya adalah mereka tidak akan membuat sesuatu keputusan dalam sesuatu perkara sehinggalah mereka duduk berbincang atau bersyura.
FirmanNya : dan bagi orang-orang yang mematuhi seruan tuhan dan melaksanakan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka.. (surah as-syura : 38)


Syura sangat mempengaruhi system pemerintahan antara Khalifah dan rakyat terutama dalam pentadbiran politik dan pelaksanaannya didalam sesebuah negara Islam. Jumhur ulama’ dan Ahli Ta’wil berselisih pendapat dalam hukmah pensyariatan Syura. Antara pendapat-pendapat mereka adalah :


Pendapat Pertama oleh Al-Hassan Al-Basri, Dhohak bin Mazahim, Abdullah bin Abbas, Sufiyan As-Sauri, Ibn Taimiah : Membantu pemerintah dalam melaksanakan dan mengaplikasikan syura dalam dunia politik.


Dari Ibn Abbas berkata : Selepas turunnya ayat surah al-Imran ayat 159, Rasulallah s.a.w bersabda : “ Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih mengetahuinya(dalam perkara yang disyurakan), tetapi menjadikannya (syura) rahmat kepada umatku, sesiapa yang bermesyuarat dikalangan mereka tidak akan terpesong dari petunjuk dan sesiapa yang meninggalkannya tidak pula hilang tujuannya “



Ketika Rasulallah bermesyuarat dengan para sahabat, ia sebenarnya menunujukkan bahawa baginda mahu mengajar kepada umat yang akan datang agar bermesyuarat untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dan dapat dilaksanakan selepas itu.




Pendapat Kedua : Menghormati pandangan pimpinan dan rakyat



FirmanNya : “ Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusa itu ( urusan peperangan dan hal-hal duniawi seperti urusan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lain) “… (surah al-Imran :159)



Apabila pemerintah meminta pandangan pemimpin bawahannya dan rakyat kemudian bermesyuarat, ini menunujkkan kemuliaan dan ketinggian darjatnya sebagai pemerintah Negara. Secara tidak langsung, ia menunujkkan bahawa Islam tidak memandang remeh idea atau pendapat yang dikeluarkan oleh ummah kerana mustahil bagi pemerintah untuk mentadbir Negara tanpa bantuan dari oaring lain yang layak membantu pemerintah. Perbincangan yang dilakukan bersama menunjukkan kepercayaan pemerintah kepada mereka yang dipimpinan dibawahnya disamping memperoleh keputusan yang diredhoi dan dihormati oleh rakyat.




Pendapat Ketiga : Pemerintah meminta bantuan melalui pandangan rakyat



Syura adalah salah satu cara pertolongan oleh rakyat yang mana menunujukkan pandangan yang benar dan layak untuk diikuti. Selain itu, ia juga memberi ketenangan kepada pemerintah kerana melaksanakan sesuatu mengikut kehendak rakyat yang dipimpin dibawahnya dan member kekuatan kepada pemerintah dan pemimpin-pemimpin dalam mentadbir Negara.


Dengan adanya Khairul Ummah, Daulah dan Islam yang seiring dan sejalan ia dapat membentuk kehidupan politik antara umat Islam yang stabil dan sempurna.




Pendapat Keempat oleh Imam Syafei : Menimbulkan rasa redho dengan kerugian (sanggup menanggung risiko bersama-sama)



Selepas sesuatu perkara disyurakan dan Khalifah akan mengambil keputusan akhir dan dilaksanakan sepertiman yang telah duputuskan dalam majlis syura. Hasil daripada keputusan yang dibuat akan dapat dilihat setelah ia dilaksanakan.


Kadangkala, apa yang disyurakan tidaklah member impak yang positif seratus peratus, mungkin ada kesalahan atau kerugian yang diperolehi. Namun, impak negative yang diperolehi bukanlah menjadi alsan utama menyalahkan keputusan syura, sebaliknya ia mendidik umat Islam redho dan menerima segalanya denagn hati terbuka kerana ianya datang dari hasil kesepakatan bersama yang dicapai setelah bermesyuarat.




Pendapat Kelima : Dapat membezakan antara penasihat dan pembelot.



Apabila pemerintah mengambil pandangan dari ahli syura, menunjukkan ianya (pandangan) keluar daripada pemerhatian, tujuan, pemikiran dan kecenderungan mereka kerana ahli-ahli politik itu dikenali dengan cara mereka bermesyuarat. Justeru, pemerintah dapat membezakan antara mereka yang berkemampuan (dalam memimpin)atau tidak , perkara yang perlu dinasihati oleh orang Islam atau tidak dan dapat menjauhkan mereka yang berpura-pura (munafiq) yang akan membawa kepada masalah dalam Negara.




Wallhua’lam.





Rujukan : Kitab Islam wa Usul Al-Hukam oleh Dr Mahmud Khalidi – Pensyarah Sains Politik Syar’eiah di Universiti Yarmouk.

Wednesday, June 3, 2009

Terima kasih Ya ALLAH...

assalamua'laikum..


Alhamdulillah.. Segala puji hanya bagiNYa. tiada tuhan yang layak disembah melainkan Dia..


Syukur.. kalimah pertama yang terucap di bibir tatkala melihat markah yang tertera di depan mata.. Keputusan akhir telah pun keluar. Alhamdulillah saya dan rakan-rakan lulus semua subjek terakhir kami. Target masing-masing juga tercapai , alhamdulillah..


Terasa seperti mahu memeluk abah dan emak jauh nun di sana. Ini hadiah dari angah yang tak seberapa untuk abah dan emak. Angah tak punyai harta untuk membalas jasa dan pengorbanan kalian, namun andai berjuta pun wang ringgit yang diberikan belum tentu nilainya setara dengan nilai pengorbanan kalian..


Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat dari semua. Alhamdulillah, berkatnya doa seorang adik, seorang kakak dan seorang teman untuk kami semua.. terima kasih ye ^_^

Terima kasih ya Allah atas nikmat yang Kau berikan ini. Moga-moga kenikmatan yang diberikan ini menjadikan kita hamba yang sentiasa bersyukur dan tahu berterima kasih pada Dia..

mari menebas ^_^

assalamualaikum..

Lama rasanya tak pijak tanah.. apatah lagi bekebun.. maklumlah, duduk di rumah tak berlaman dan berpokok, tak ada lah daun-daun kering yang nak disapu.. yang ada cuma pokok zaitun dan limau je dibelakang rumah..

pagi ni ada saya dan kak aimi menyertai adik-adik rumah Insyirah menebas lalang di laman rumah mereka yang dah macam hutan belukar rupanya.. Mengisi masa cuti, lagipun dapat juga mengeluarkan peluh.. Sambil-sambil bersenam ;) hehehe

Seronok rasanya.. terasa macam berkebun di kampung-kampung je.. ditambah celoteh adik-adik yang macam nenek-nenek ni, terhibur rasanya.. Tapi kelakar pun ada, maklumlah, rumah ditepi jalan menjadi tumpuan kereta lalu lalang.. ada yang pelik melihat kami bergotong-royong...biasalah pelajar malizi menjadi tumpuan lebih-lebih lagi dengan "aktiviti" menebas lalang di depan rumah..

Lepas ni tak payahlah nak upah pak cik arab tebas semak depan rumah ni.. Adik-adik Insyirah ni semuanya berbakat jadi tukang kebun dah hehehe jangan marah ek, akak gurau je.. Kata shafiqah " akak ni orang nak balik ada kenagan best-best, akak ni pergi menebas lalang pulak " .. saya membalas " tak pelah, tebas lalang, bakar sampah ni pun kenangan jugak.. bukan semua orang dapat pun kan"

alhamdulillah cerah lah sikit laman rumah insyirah.. sakit luka terkena duri, panas membakar sampah dan gatal-gatal tangan mula terasa bila semuanya dah selesai..biasalah tu, adat berkebun.. apa pun, seronok tetap ada, dan paling penting kenangan manis bertambah di dalam diari kembara saya di jordan..

Alhamdulillah..

assalamua'laikum...

Alhamdulillah, kelmarin saya dan rakan-rakan telah selamat menjalani peperiksaan yang terakhir kami.. madah ikhtiari yang amat digeruni.. tapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar..

Peperiksaan telah berakhir tidak bererti pengharapan kita pada Allah juga telah berakhir.. Ingat sebagai penuntut ilmu dan hamba Allah, doa dan pengharapan kita perlu berterusan selagi mana kita bernafas dalam nikmatNya.. Jangan jadikan solat hajat, solat taubat, dan Qiammulail kita bermusim.. Pasang surut ibadah kerana ada sesuatu lebih-lebih lagi bagi seorang pelajar..

Musim exam adalah musim "naiknya" iman.. ibadah yang sunat ditambah malah digandakan.. sebaliknya hari-hari biasa iman kita "istiqamah" dalam kesederhanaan. itupun jika ia istiqamah, jika ia "turun" lagi la parah.. Sama-sama kita nilai kembali iman kita lebih-lebih lagi setelah selesainya peperiksaan..

Asam garam menjawab periksa.. Kadang-kadang ada yang keluar dewan dengan hati yang gembira, tapi ada juga yang keluar dengan linangan air mata.. Semuanya telah ditetapkan oleh Dia.. yang penting jangan sesekali putus asa dari rahmatnya.. Susah senang sebagai penuntut ilmu akan membuatkan kita lebih menghargai Ilmu yang kita perolehi.. Bagi mereka yang benar-benar menghayati syarahan doktor di dewan kuliyyah, pasti akan terasa nikmatnya menghadiri kuliyyah kerana bukan sahaja terisi ilmu akademik, malah ilmu kerohanian dan jiwa juga turut terisi..

Persediaan mental & Jiwa ..

Kadang-kadang dah rasa tepu sangat kepala nak membaca dan menghafal.. Dah letih rasanya.. sempat lagi teman serumah berseloroh.."agaknya kita ni dah tua kot.. dah susah nak menghafal ni ha.." entah agaknya la tu hehehe

Suatu hari sewaktu kami bersiap-siap untuk ke universiti untuk exam, seorang junior singgah ke rumah, nak ambil handphonenya teringgal kat rumah. dia baru sahaja exam.. tapi ada sesuatu yang merisaukannya. dia mahu menangis kerana takut, perasaan yang bermacam-macam singgah dihatinya setelah keluar dari dewan peperiksaan. Beliau risau.. saya memujuk, saya katakan..

" dah jangan risau sangat. insya allah khair.. biasalah kadang-kadang kita blur masa dapat kertas soalan. rasa kosong. Allah nak uji kita, sejauh mana yakin dan tawakkalnya kita pasa Dia. Dah jawab periksa tak semestinya tak boleh doa dah.. Allah tu adil, teruskan doa, buat solat hajat moga-moga dipermudahkan semuanya.. Ingat, kadang-kadang kita rasa sudah bertawakkal pada Allah setelah berusaha. Namun, bila dapat natijahnya, kita kecewa. kenapa?? bukankah kita dah berusaha, doa dan bertawakkal padanya?? Sebab tawakkal kita melebihi keyakinan kita pada Dia yang menentukan natijahnya. Apa guna kita bertawakkal andai tidak meyakini pada natijah yang akan Dia berikan.. dah, jangan sedih-sedih.. terus usaha untuk paper seterusnya.. ok?? "


Usaha satu perkara yang subjektif.. Sejauh mana kita dapat menilai usaha yang kita lakukan lebih-lebih lagi di dalam peperiksaan.. kita merasakan kita sudah berusaha.. Habis semua silibus telah dikhatamkan, latihan sudah dibuat, kulit buku dah nak lunyai dibuatnya dek kerana membelek setiap hari, solat hajat dan qiammullai setipa minggu, sedekah di masjid tak pernah tinggal.. tapi sudah cukup ke semua ini??? Adakah kita mempunyai kayu ukur atau mi'yar untuk menilai usaha kita?? TIDAK... hanya Dia yang bisa menilainya..

sahabat, ingatan untuk diri dan kalian semua...
jangan sesekali kita lupa tujuan kita diciptakan di muka bumi ini.. dan jangan sesekali berputus asa dalam kehidupan ini.. Insya allah kita sama-sama berdoa agar kita lulus "imtihan dunia" ini agar kita dapat menerima "ijazah kehormat" di konvokesyen akhirat nanti sebagai "pelajar ashabul yamin" dan akhirnya memasuki alam yang kekal abadi di syurganya nanti..

Bittawfiq untuk semua yang masih belum tamat exam.. Doakan juga saya dan rakan-rakan lulus semua subjek dengan cemerlang.. tinggal satu paper lagi yang belum keluar result..