Wednesday, November 2, 2011

Berakhir tetapi bukan Terakhir

assalamualaikum..




alhamdulillah 7 Oktober 2011 selamat menghantar tesis (final submission).. alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah syukur kepadaNya. 1001 pengalaman suka dan duka dilalui menempuhi kehidupan sebagai pelajar di Universiti Malaya..


Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya secara langsung atau tidak langsung.. sekarang cuma menunggu surat pengesahan Master dari senat. Konvo tahun depan insya Allah..


Namun ini bukan destinasi terakhir perjalanan kehidupan sebagai pelajar.. insya Allah ada rezeki akan sambung Phd pula ^_^, tapi mak pesan suruh kahwin dulu :)apa pun kita merancang dan terus merangcangkan, semuanya Allah yang tentukan. Moga semuanya dimudahkan insya Allah


Yakinlah dengan pilihan emak dan abah kita, kerana mata hati mereka melihat lebih dalam dari mata kasar kita. Terima kasih mak sebab suruh angah sambung jugak Master (walaupun hati sangat2 berat dan tak mau hehehe), ini hadiah buat Mak ngn Abah :)

Tuesday, September 6, 2011

Bulan Jemputan ^_^

assalamualaikum..

salam aidilfitri buat semua, alhamdulillah masih diberi kesempatan melihat anak bulan pada syawal kali ini..

emmm bulan ni memang padat, padat dengan jemputan kahwin teman-teman dan juga saudara mara. Tetapi maaf tidak semua dapat saya penuhi kerana kekangan jarak dan masa :) apapun dikesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka-mereka yang telah dan akan mendirikan rumahtangga..

Khususnya kepada dua pupu saya, Puan Ain dan pasangannya, teman-teman di Jordan - Asma' Abu Bakar & pasangannya, Nadhirah Sahri&Pasangannya, nurul Sakinah&Pasangannya, Kak Ain& Senior Aizat, Senior Amin&Kak Hanis,Ust Mohamad (mu'tah)&pasangan, teman-teman di SAMTH - Aidil Adam&Munirah dan sesiapa yang saya tak sempat nak sebut :)


Tahniah juga kepada teman-teman yang telah menerima kehadiran cahaya mata - Saudara Afiq&pasangan, serta mereka yang sedang menanti kehadiran cahaya mata ^_^ semoga ibu dan baby dalam keadaan sihat2 hendaknya..


Semoga kebahagian yang dikecapi berkekalan hingga ke syurgaNya..

Wednesday, August 10, 2011

~ Ramadhan Kareem ~




asslamualaikum..

Fasa ke dua bulan ramadhan telah bermula.. moga maghfirah yang dicari akan ditemui, insya allah..


:: Salam Ramdhan ::

Sunday, July 3, 2011

- Perubahan Fasa Baru -

assalamualaikum..

alhamdulilllah alhamdulillah alhamdulillah....

Syukur ke hadrat Illahi atas segala limpah kurniaNya..

Insya allah hari ini hari pertama saya bekerja sebagai RA (research asistantt @ pembantu penyelidik) kepada penyelia saya, Prof. Madya Dr. Raihanah Abdullah di Jabatan Syariah&Undang-undang, Universiti Malaya..

Walaupun sementara, moga semuanya dimudahkan insya allah.

Wednesday, June 15, 2011

- TAHNIAH -

assalamualaikum..

Tidak terbalas jasa ibu dan ayah yang sentiasa berusaha memberi kita kehidupan yang terbaik, yang sentiasa mendoakan kebaikan anak-anaknya..

Tidak terkira jasa insan yang bergelar cikgu, ustazah, teacher, ustaz, sir, duktur, dukturah mahupun prof yang sentiasa berusaha membantu anak didiknya untuk memahami ilmu agar menjadi panduan di masa akan datang, tanpa mengira penat lelah, tanggungjawab digalas demi mendidik permata negara..

Tidak ternilai doa sahabat-sahabat dan rakan-rakan walau dari ceruk mana pun mereka berada yang sentiasa mendoakan kejayaan kita dalam apa pun yang kita lakukan..


Namun segalanya pujian dan kesyukuran dipanjatkan kepada DIA yang MAHA KUASA.. kerana segalanya diatur oleh DIA yang MAHA HEBAT.. Terima Kasih Ya ALLAH..


:: Tahniah buat rakan-rakan di JUST dan Yarmouk yang berjaya menamatkan pengajian di sana.. alhamdulillah.. alf mabrook ;alaikum jamiiaan ^_^ ::

Sunday, May 22, 2011

Peluh mencari rezeki..

assalamualaikum..


Lama tak menjengah ke blog ini.. macam-macam yang terjadi ingin dikongsi namun kekangan masa dan rutin yang tidak lagi ke um membataskan diri untuk selalu online..


dua minggu lepas pulang ke kampung sabak bernam.. Kebetulan masa untuk nenek mengait buah kelapa sawit. nenek ajak saya untuk sama-sama kutip biji kelapa sawit yang gugur dari pokok ketika dikait..


saya terima pelawaan nenek, saje ingin mencari pengalaman masuk ke ceruk kampung di mana terletaknya kebun nenek..





di sana saya mulakan tugas seawal jam 8.30 pagi hingga ke 1.30 petang baru pulang ke rumah. selesai mengutip buah, semua buah dimasukkan dalam guni. guni yang sipa dijahit saya letakkan di belakang motor untuk dibawa ke pusat menimbang. hari itu saya dan nenek dapat kumpul 4 guni besar.


alhamdulillah rezeki haritu dapatlah dalam RM 30 sorang, kami kongsi hasilnya bertiga, nenek, saya dan jiran sebelah saya panggil nenek En.. tapi yang bestnya nenek bagi bahagian nenek kat saya, dapatlah duit lebih sikit ^_^


hari pertama memang seronok, tapi menjelang malam ketegangan kaki mula terasa.. fuhh sakit rasanya, nak tunduk rukuk ketika solat lebih terasa bisanya.. malam itu saya tidur awal, kepenatan..


esoknya saya sambung kutip biji sawit di kebun pakcik pulak, kebetulan orang yang diupah mengait buah dikebun pakcik.. tapi nasib kebung pakcik saya tidaklah seluas kebn nenek, klu tak mahu jugak mengesot menguti buah ^_^
alhamdulillah siap awal kali ini, jam 12 kami sudah ke penimbang.. hasilnya ok lah jugak..


Namun apa yang saya fikirkan, bukan mudah untuk kita mencari sesuap nasi lebih-lebih lagi mereka yang kerje di kampung-kampung.. kata nenek, inilah pekerjaannya semenjak bergelar ibu tunggal, kerje di estet meracun, menanam dan mengutip kelapa sawit demi membesarkan tujuh orang anaknya.. penat bekerja di bawah terik mentari dilupakan demi untuk mencari sesuap nasi buat anak-anak..


pengalaman yang begitu berharga saya perolehi, dua hari menjadi tukang kutip biji kelapa sawit membuatkan saya mengerti bukan mudah mencari rezeki.. justeru hargailah wang yang anda perolehi, gunakanlah secermatnya, bantulah mereka yang memerlukannya kerana seringgit itu terlalu berharga bagi mereka yang benar-benar memerlukannya..


:: Terima kasih nenek ajak kutip buah sawit, nnati ada masa kita kutip lagi ek.. tersa gembira sangat dapat gaji hasil bekerja sendiri ^_^ ::

Tuesday, April 26, 2011

Penghargaan

assalamualaikum..


Sekalung pengahragaan yang tak tertulis di dalam disertasi..


Terima kasih kepada kak timah yang sentiasa menemani hari2 di UM sehinggalah ke hari menghantar disertasi semalam..


Terima kasih kepada kak syafa dan nadia, berkongsi suka duka dan tak jemu memberi kata2 semangat..


Terima kasih kepada teman rumah sewa di Taman melati, Farah Najihah, Nadia Kamil. Zarah,dan adik2 kerana sudi menumpangkan saya penyewa tak berbayar ni di sana. minta halal makan minum ek


kepada semua sahabat-sahabat di Malaysia dan Jordan,dan semua adik2 junior yang sentiasa mendoakan saya, terima kasih saya ucapkan..

Moga segala urusan kalian dimudahkan..


Kepada keluarga dan insan-insan yang tersayang, terima kasih kerana tidak pernah jemu memberi dorongan dan mendoakan saya..

ALHAMDULILLAH

Assalamualaikum..


Misi Pertama : Belajar hingga tamat ijazah sarjana muda = selesai

Misi Kedua : Habiskan Master dalam tempoh 1 1/2 tahun = alhamdulillah selesai dan kini sedang menuggu keputusan.. 25 April 2011 selamat menghantar disertasi ke UM

Misi Ketiga : Mencari kerja = Sedang bermula, doakan insya allah semuanya dimudahkan..

Misi Keempat : bantu Family = seiring dengan misi ketiga

Misi Kelima : Berkeluarga ?? = Kita merancang, Allah adalah sebaik2 perancang.. merancang, berusaha dan berdoa ^_^

Misi Keenam : Membantu Islam = Cuba yang terbaik insya allah

Sunday, March 27, 2011

15 bulan...

assalamualaikum...

alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk hidup sehari lagi..

26 Mac 2011 : Hantar draft akhir disertasi untuk di semak kali terakhir oleh penyelia sebelum dihantar ke Ijazah Tinggi untuk disemak oleh pemeriksa. 3 bulan setelah disemak, baru lah saya menerima jawapan status penulisan saya, diterima dan lulus itu pengharapan dalam doa saya insya allah.. Moga semuanya dimudahkan insya allah


28 Mac 2011 : hari ini genap 15 bulan atau setahun 3 bulan saya menyambung pengajian di Universiti Malaya.. 10001 kenangan dan pengalaman ditempuhi dalam liku-liku kehidupan bergelar mahasisiwa di IPT Malaysia...


selamat maju jaya diucapkan kepada teman-teman seangkatan, moga kalian juga dimudahkan segala urusan..


:: semoga kita terus diberi kekuatan dan semangat oleh-Nya dalam mengharungi cabaran kehidupan yang tidak pernah diketahui kerana ia rahsia di sebalik Takdir Tuhan ::

Monday, February 21, 2011

Bercerita Tentang Jodoh

assalamualaikum..

Akhir-akhir ini ramai yang bercerita tentang jodoh.. Soalan cepu emas yang biasa ditanya, " Ko bila lagi" .. Soalan yang mudah tetapi tidak semudah yang disangka untuk menjawabnya.. bagi saya, tiada jawapan yang terbaik melainkan Insya Allah, sampai masa dan rezeki adalah jodohnya kan ;) apapun selamat menempuh alam rumahtangga buat sahabat-sahabat yang telah mendirikan masjid, dan selamat menempuh alam baru buat mereka yang telah merancang ke arah itu..


Mungki sedikit cerita yang saya mahu kongsikan, cerita tentang jodoh yang saya ambil dari blos Ustaz Pahrol Mohd Juoi http://genta-rasa.com/2011/02/09/bercerita-tentang-jodoh/#comment-6299






Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.

Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

“Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang sangat saya hormati.

“Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”

“Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.

“Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?” gurau saya.
“Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain…”



Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.

“Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.

“Habis mengapa putus?”

“Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta.”

Wah, ini kisah cinta yang dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.




Isteri Amanah

“Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?” kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.

“Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta.”

“Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?”

“Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa.”

“Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?”

“Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya.”

Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, “Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga.”

Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.

“Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi…”

Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, “Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua.”





Cantik Itu Relatif dan Subjektif

“Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er… er… kita masih manusia bukan?” saya menduga hatinya.

Dia ketawa tiba-tiba.

“Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya.”

“Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?”

“Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?”

“Bukan yang cantik?” jolok saya lagi.

“Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya,” balasnya dengan yakin.

“Maksud abang?”

Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.

“Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.”

Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, “Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami.”

“Oh, betul juga tu!” kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, “Sedap di mata tetapi sakit di hati…”



Wasilah Memilih Jodoh

“Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?” ujar saya dengan soalan nakal.

“Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja.”

“Maksudnya yang dulu lebih cantik?”

“Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?”

Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.

“Apa kaitannya dengan hati?” layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.

“Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!”

‘Ah, tentu dia bahagia kini!’ bisik hati saya sendiri.

“Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?”

“Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.”



Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik

“Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik.”

“Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik.”

“Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum.”

Abang tersenyum lantas berkata, “Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?”

Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.

“Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!”

Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.

“Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?”

“Kerana mereka bukan orang baik,” jawabnya pendek.

“Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?”

“Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w.”

“Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?”

“Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?”

Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.



Jodoh Urusan Allah

“Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat.”

“Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?” tanya saya inginkan penjelasan muktamad.

“Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan ‘orang baik’ lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!”

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!

“Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.”

“Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?”

“Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi.”

“Hikmah untuk kita?”

“Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya pasangan kita bermasalah… bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah.”

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak “abang bayangan” saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?

Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: “Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!”


:: Rahsia Kehidupan Di Sebalik Takdir Kita Sebagai Insan Ciptaan Tuhan ::

Wednesday, February 16, 2011

Dia Pernah Mencintaimu.. Cintanya Luar Biasa..

assalamualaikum..


Dipetik dari buku Murabbi Cinta..






“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.

“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.

Persoalan.
Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?

“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Aneh.

Mencintai insan yang belum ada.

Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.

Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.

Cinta luar biasa.

Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.


SENYUMAN PERPISAHAN

Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.

Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,

Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.

“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.

Wajah itu mengubat rindu mereka.

Tiga hari yang hilang warna dan sepi.

Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.

Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.

Sangka mereka itu senyum kesembuhan.

Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…

Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.

“Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.

“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.

Tangan itu rebah terkulai.

Basah dalam bejana air.

Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.

Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.

Merindui saudara-saudaranya.

Kita.


SEBUAH PERTANYAAN CINTA

Justeru…

Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?

Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?

Hati kecil itu tidak mampu berbohong.

Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….



“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Sunday, February 6, 2011

Moga semuanya selamat

assalamualaikum..

dulu saya pernah berjiran dengan nagara ini sewaktu pengajian sarjana muda dahulu. pernah teringin untuk bermusafir ke negeri ini tapi terhalang kerana berlaku pergolakkan di sempadan Palastin dan negara ini..


Mesir oh Mesir..


Revolusi dari rakyatnya rentetan dari semnagat intifadhah rakyat Tunisia membuka mata dunia khususnya negara-negara Arab yang lain.. kemiskinan yang semakin menghimpit rakyat menyebabkan mereka kini bersatu, tidak mahu lagi membisu, mencari pembelaan dan kehidupan yang lebih bernilai..


Persoalan siapa yang bakal menerajui kepimpinan Mesir selepas Hosni Mubarakbukan persoalan bagi rakyat Mesir, yang penting mereka bebas dari cengkaman pemerintah kuku besi ini.. Serahkan pada rakyat Mesir, mereka lebih tahu apa yang mereka cari dan apa yang mereka mahu..


~ Islam itu Tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya ~


:: semoga semua pelajar dan rakyat malaysia di sana berada dalam keadaan selamat dan dilindungi Allah s.w.t, Ameen ::

Thursday, January 27, 2011

Fasa akhir

assalamualaikum..

Sakit kepala juga dibuatnya, bila tidur terfikir bila makan terfikir. hebat juga penangan sem akhir ini.. Apapun, semuanya perlu dihadapi tambahan lagi kini saya memasuki fasa-fasa terakhir. minggu ni saya telah habis menemu ramah respondan untuk kajian saya, 10 pasangan suami dan isteri yang tinggal di daerah Klang. Bukan mudah juga nak 'deal' dengan manusia ni, kesabaran dan ketabahan amat diperlukan lebih-lebih lagi bila ia berkaitan masa.


Kini saya memasuki bab keempat penulisan disertasi saya, harapnya sem ini adalah sem terakhir untuk saya menamatkan pengajian saya, insya allah. Simptom-simptom 'huru-hara' mula melanda sedikit demi sedikit walaupun ianya belum ke tahap yang kronik lagi. kadang-kala pecah kepala juga bila mahu memikirkan keseinambungan perenggan, pengolahan ayat serta nukilan idea dan isu yang dibangkitkan.


Doa saya moga diri ini dan sahabat-sahabat yang sedang belajar berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang, Insya Allah.


Tiba-tiba saya teringat perkongsian Ust Rabeh, guru displin sekolah menengah dulu, sewaktu saya berkunjung ke biliknya (bukan sebagai pesalah tetapi nak tulis laporan kesalahan ^_^ ). Sewaktu sem akhir di Mesir, ketika imtihan nihaei, beliau berhadapan dengan kesukaran - saya pun kurang ingat apa maslah yang beliau hadapi ketika itu, cuma yang paling terkesan, adalah doa beliau sewaktu berhadapan dengan kesukaran di waktu itu.. " Ya Allah sekiranya kejayaan ku ini baik untuk Islam, Engkau mudahkanlah, sekiranya ia tidak baik untuk Islam, maka aku serahkan segalanya kepada-Mu, kerana Engkau Maha Mengetahui segalanya".. Ameen ~

alhamdulillah beliau lulus dan bergelar graduan dari Universiti al-Azhar, Mesir. Drai seorang guru, menjadi guru Displin dan kini menjadi salah seorang pegawai di Jabatan Agama Islam Selangor (em jawatan apa, saya kurang pasti, maaf ye ustaz ^_^ )

Tuesday, January 25, 2011

Bila kekosongan jiwa semakin terasa

assalamualaikum..

perbualan yang seketika dan ringkas bersama teman saya, tetapi ia amat membantu kami..


Kadang-kadang kita manusia ni terleka seketika tetapi Allah itu Maha Penyayang.. Bila terasa kosong dan futur,carilah ayat quran atau hadith atau kata-kata sesiapa yang boleh kita jadikan motivasi pada diri.. tampal ayat tu, bila rasa lemah ingat balik kata2 tu..


Normal sebagai manusia kita akan lalui fasa-fasa kebuntuan, kekecewaan, keksongn dan kesedihan.. masa nilah sebenarnya Allah nak uji sejauh mana kita kembali menadah tangan kepada-Nya atau kita terus dengan emosi dan ego diri yang dikawal nafsu tanpa iman dan kewarasan berfikir. Bila kita berjaya atasi detik-detik ini, percayalah, kita akan terasa nikmatnya ujian yang Allah bagi pada kita.


Pengalaman yang kita lalui inilah yng menjadi guru pada kehidupan kita di masa hadapan. Remember, our future life is more challenging and more tribulations..Tetapi walau apa pun yang terjadi, paksinya tetap sama, kembali bersujud kepada=Nya dengan kerendahan hati yang penuh keikhlasan.







:: Selamat berjuang buat sahabatku Nadiatul Hussin dan rakan-rakan sekelian. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita ^_^ ::

Thursday, January 6, 2011

Boiling Points

assalamualaikum..

baru-baru ini saya menonton satu rancangan di NTV7, Boiling Points.. rancangannya telah lama bersiaran, tetapi saya sahaja yang lambat menonton. fokus saya buka pada aksi-aksi di dalam rancangan ini, tetapi misi tyang tersirat di sebaliknya.


Rancangan ini sebenarnya menguji tahan kesabaran masyarakat. anda mungkin diuji apabila pelayan menyediakan makanan yang kotor, berebut troli di pasaraya dan macam-macam lagi. sekiranya anda berjaya menahan marah sehingga masa yang ditetapkan, anda mendapat $100.






menarik kan, dengan hanya bersabar selama 7, 5 adan mungkin 15 minit, anda mendapat seratus dollar. jika hakikat rancangan ini diadaptasi dalam kehidupan, pastinya ramai manusia akan lebih bersabar kerana melihat ganjaran yang tersedia. Namun hakikatnya tidak begitu kerana kesabaran kita tidak dinilai dengan seratus dollar, tetapi ianya dinilai oleh yang Maha Agung. kita mengerti dan tahu, buat baik dapat pahala, namun nilai pahala tersebut kita sendiri tidak tahu berapa atau seberat mana.


Nabi s.a.w. pernah bersabda : La taghdhob, la taghdob, la taghdob. yang bermaksud, jangan marah yang diulang sebanyak tiga kali. Menahan marah dan sabar, dua kombinasi yang amat sinonim sekali namun jarang-jarang ianya terlekat dalam hati kita.


:: berusahalah agar kita menjadi orang yang lebih sabar, berlapang dada dan tidak mudah marah ::