kembara berjalan menuju destinasi akhirat yang pasti.. perjalanan panjang yang sebati dengan ranjau&onak duri.. penghujung yang belum pasti.. bekalan perlu dicari untuk bertemu pencipta hakiki..
Sunday, December 27, 2009
Kembara terus berjalan
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
~Alhamdulillah dan insya allah saya akan kembali menjadi pelajar semula. Hari ini hari pertama saya akan mengahadiri kuliyyah di UM. saya kini melanjutkan pengajian Master of Syariah dalam jabatan Syariah dan Undang-undang. Selamat maju jaya saya ucapkan pada semua juga, insya allah kita sama-sama doa agar semua urusan dipermudahkannya. Moga ilmu yang diperolehi mampu diamalkan dan bermanfaat untuk Islam dan umatnya ~
Monday, December 21, 2009
Kenapa Allah Murka ?
saya kongsikan pembacaan saya buat tatapan semua.. moga ada sesuatu yang kita perolehi
MANUSIA MELANGGAR DOSA
Tidak ada rasa takut
apatah kesal jauh dari hati
di sudut laman petang
dosa dibeli sebegitu murah
dengan harga satu umpatan
tentang kain carik di betis orang
tentang tiris bumbung di rumah jiran
Di warung-warung gebang
dosa sehari diraih sebanyak-banyaknya
cukup dibayar kopi satu cawan
lumba-lumba bentang berita terkini
serakah seorang tokoh kebencian
tanpa bukti tanpa saksi
cerita bejat melipur lara pelosok mukim
sensasi dilukis sebegitu hina
dengan fitnah dan rempah tambah
berbekal sebaris gosip cinta
dan secebis prasangka
Peluru caci, tembakan nista
berpuing-puing membedil wibawa
dosa di pentas siasah nampak suci
dibalut keharusan fatwa spontan
lupa pada kiraman katibin
di sebalik tabir kota malam
selenggara dosa lebih enak
dalam ulit-ulitan nafsu jahil
yang hatinya telah buta pada azab, sengsara neraka
:: nukilan : Mohammad Qayyum A.Badaruddin, Kenapa Allah Murka ::
~ selamat tahun baru 1431 hijrah buat semua kaum muslimin dan muslimat. Moga kembara perjalanan hidup kita semakin dekat menuju destinasi JannahNya ~
~ salam takziah buat keluarga pegawai atase pendidikan jabatan penuntut Malaysia di Jordan , allahyarham Ustz Arman. Moga beliau ditempatkan dikalangan orang-oarang yang beriman - alfatihah ~
Wednesday, December 2, 2009
Part Time
Cuti sekolah bermula maka berakhirlah sebahagian kerja part time saya- guru sementara dan cikgu tution. Seronok juga bekerja tiga pekerjaan dalam satu hari. Waktu pagi saya mengajar di sekolah, lepas magrib saya mengajar anak-anak jiran mengaji, lepas isyak pula saya mengajar tution darjah 3&4 anak jiran sebelah. kadang-kadang penat juga, tetapi rasa puas bila kita lakukannya dengan hadirnya hati dalam setiap perbuatan kita. Ya, hadirkan hati pasti kita akan merasai nikmat dan indahnya sesuatu yang kita lakukan ^_^
Kepada anak didik saya, saya doakan moga mereka menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Teringat kata-kata seorang guru saya "seronok tengok kamu mengajar kat sekolah ni. rasa bangga dan gembira sebab tengok anak murid berjaya " Mungkin sedikit sebanyak saya dapat merasai perasaan ini apabila saya mula mengajar. Rasa gembira apabila anak murid memberi respon dan kadang-kadang naik angin jugak bila ada yang mula buat perangai.. Mungkin inilah rencah kehidupan seorang guru yang selalu kita ibaratkan seperti lilin yang sering membakar diri demi menerangi alam..
Apapun, rutin harian kini kembali kepada asal. hehehe cuma yang lainnya kini setiap hujung minggu pasti ada jemputan kenduri kahwin. Inilah masanya nak merasa nasi minyak kenduri yang dah lama saya tak rasa..
Alhamdulillah banyak cerita kehidupan dan ragam manusia saya perhatikan. Moga ia dijadikan panduan dalam menempuh kehidupan..
Sunday, November 29, 2009
Damai itu masih ada..
Monday, August 17, 2009
Rezeki dan Pengalaman
lama rasanya tak menjengah ke blog sendiri. Internet ada di rumah tetapi masanya yang tiada. Entah lah, setiap hari ada sahaja jadual kosong yang terisi. Alhamdulillah sekurang-kurangnya tidak lah terasa bosan duduk di rumah.
Kebetulan + Rezeki
10 Ogos lepas saya ke sekolah lama, sekolah agama menengah tinggi hisamuddin untuk berjumpa pengetua, meminta cop pengesahan. Cop pengesahan dokumen-dokumen untuk disertakan bersama permohonan saya menyambung pengajian Master di Universiti Malaya. Nak dijadikan cerita, saya berborak-borak dengan pengetua yang dulu merupakan guru KHB saya.
" Kamu buat apa sekarang? " tanya cikgu Khairiah.
" Saya duduk rumah je cikgu, ni pun saja mohon sambung beljar. kot-kot ada rezeki kat sana."
" oo kalau macam tu kamu free la ye. Boleh tak kamu mengajar sementara 2 minggu, ganti ust Salehan? "
" Emm ajar apa cikgu? "
" Ajar Quran. "
" Em ok kot. Bila nak mula mengajar cikgu? "
" Kalau boleh hari ni pu tak pe, sbab dah lama saya cari guru ganti, kenapalah kamu ni lambat datang ye.. "
" em hari ni mungkin tak boleh sebab saya nak pos borang, esok boleh? saya tak tahu pulak ada tempat kosong jadi guru ganti, aritu tanya kat ustzh Salmah dia kata tak de.. "
" ok, esok kamu datang terus jumpa Ustazah Salmah mitak jadual kelas ust Salehan. " " ok insya allah cikgu."
11 Ogos saya melaporkan diri sebagai guru ganti di sekolah. Setelah mendapatkan jadual dari Ustzh Salmah, saya masuk ke bilik guru. Macam-macam perasaan ada waktu itu. Ustazah Azah membatu saya mencari meja guru. Alhamdulillah ada juga ruang untuk saya di bilik guru perempuan.
Hari ini masuk hari ke lima saya mengajar. Seronok kerana saya mengajar subjek yang saya sukai- Tafsir Hadis tingkatan 2. Saya mengajar 3 buah kelas. Tetap pening juga berhadapan dengan budak-budak ni. Biasalah kerenah pelajar-pelajar, terpikir pula kenakalan saya dan rakan-rakan sewaktu kami seusia mereka dahulu.
Tetapi cabaran bagi saya kerana terpaksa mengajar subjek pengenalan Bahasa Arab STAM - semua kelas tingkatan 5 sebanyak tujuh buah kelas. Aduh, pening juga nak mengingati kembali skil-skil nahu yang dulu-dulu.Macam jadi pelajar balik rasanya bila kena study dahulu subjek sebelum mengajar. Tetapi setakat n alhamdulillah, masih terselamat kerana mereka sedang menghadapai peperiksaan pra-percubaan SPM sehingga minggu ini hehehe
Walaupun baru beberapan hari mengajar, banyak perkara yang saya pelajari..
1) Untuk menjadi guru atau warga pendidik bukanlah satu tugas yang mudah. Minat dan kesabaran amat penting kerana kita akan berhadapan dengan kerenah pelajar yang pelbagai.Kekuatan yang luar biasa perlu ada jika benar kita memilih untuk menjadi seorang guru.
2) Guru memang banyak bekorban terutama guru perempuan. Nak urus keluarga di rumah - masak,jaga anak, kemas rumah. Urus di sekolah - kelas biasa, kelas tution, tanda kertas.
3) Realiti anak remaja sekarang. Krisis identiti dan masalah menentukan masa depan sendiri. Masalah disiplin semakin meruncing. Ada pelajar yang bermasalah berpunca dari perpecahan keluarga, ini satu realiti di depan mata saya. Pelajar yang bijak, tetapi kadang-kala memberontak kerana ingin kebebasan dan perhatian.
Pengalaman Manis
Saya rasakan peluang mengajar sementara ini sebagai satu memori indah dalam hidup saya. Kadang-kadang melucukan juga. Mana tidaknya, insan yang satu ketika dahalu mengajar kita di kelas kini menjadi rakan sejawat. Mereka yang pernah saya panggil "teacher" , "cikgu" dan "ustazah" kini bertukar gelaran kepada " kak " ^_^
Alhamdulillah, semuanya rezeki dari Allah yang kita rasakan secara kebetulan tetapi ianya telah ditakdirkan.
p/s : Terima kasih banyak-banyak pada kak Syafa dan Nadia kerana banyak membantu sewaktu menguruskan borang permohonan ke UM. Ada rezeki nanti kita belanja makan ek ^_^
Monday, July 20, 2009
Kita akan bertemu lagi
Sejuk pagi ni. Langit kelihatan mendung. Rupanya jam 11 pagi ni hujan sanagt lebat turun, belakang rumah "banjir" jugak lah. Pagi ni pagi terakhir bersama kak timah. Pagi ni jam 8.15pagi kak timah akan kembali ke Sarawak. Sedih, tapi ini lah resam dunia. Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan.
Jam 4.45 pagi saya, abah dan mak ke KLIA untuk menghantar kak timah. Selepas chek in jam 5.45 pagi, kami ke surau menunaikan solat Subuh. 6.45 pagi kak timah memasuki balai perlepasan dalam negeri. Air mata bergenang. Sebak kerana akan berpisah denagn 'jiran Jordan" ini. Insya allah ada rezeki kami akan berjumpa lagi ye kak timah. Yang penting kak timah kahwin jangan lupa jemput kamekorang ;)
Pulang dari KLIA, abah singgah warung berdekatan dengan rumah kami. Kami bersarapan di sana. Tetapi hati tiba-tiba menjadi sedih melihat sekumpulan pelajar leleki sekitar umur 13 ke 15 tahun duduk melepak di warung tersebut. Hairan, jam sudah menunjukkan 8 pagi, mereka ni tak ke sekolah ke?? Tambah menyedihkan mereka turut merokok, dua batang barang kali, bertukar-tukar sesama mereka. Di mana silapnya?? Rasa risau menerjah ruang pemikiran. Saya juga mempunyai seorang adik lelaki berusia 15 tahun. Bagaimana agaknya dia pagi ini, ke sekolah atau tidak.
Teringat perbualan saya bersama Nadia semalam. Kalau ikutkan hati rasa seronok lagi tinggal di Jordan, macam tak nak balik. Tetapi bila memikirkan situasi di Malaysia lebih memerlukan kami merasakan kepentingan dan keutamaan untuk berada di sini. Pulang untuk membantu masyarakat Melayu Islam di sini. Membantu masyarakat. Ya, sebab inilah membuatkan kami perlu mencari ruang dan peluang untuk memberi bantuan yang kami mampu.
Doakan saya dan rakan-rakan dapat mengaplikasikan ilmu akademik dan ilmu kehidupan yang kami pelajari di sana untuk digunakan di Malaysia.
p/s : seronok rasanya dengar bunyi hujan lebat. Rindu dengan suasana ini.
Friday, July 17, 2009
Dunia Baru
Alhamdulillah hari ini masuk 4 hari saya telah berada di tanah air. Rasa seperti tidak percaya bahawa saya dan rakan-rakan telah kembali ke Malaysia. Suasana kini telah berbeza, kadang-kadang rasa takut timbul dalam diri. Kuatkah aku untuk berhadapan dengan ragam masyarakat dan karenah Umat Islam di Malaysia??
Dahulu sewaktu sedang menutut di Jordan, saya sering membayangkan bagaimana kehidupan saya setelah tamat belajar. Kini saya berada di posisi yang dibayangkan suatu ketika dulu. Nyata bayangan dan anganan yang diimpikan tidak mudah untuk digapai.
Hari ini saya dan Nadia selesai berurusan di Block C1, bangunan JPA di Putrajaya bagi mengiktiraf ijazah kami. Alhamdulillah, urusan yang tak merumitkan dan menyusahkan tapi sedikit memenatkan dan sijil kami telah diiktiraf. Maklumlah cuaca panas di Malaysia tak sama dengan Jordan. Minggu depan kami akan ke JAIS bagi urusan claim duit tiket dan elaun buku ( katanya akan diberi, kalau dapat alhamdulillah ^_^ )
Sewaktu berurusan di Putrajaya dan JAIS, saya berjumpa pelbagai generasi dan lapisan masyarakat. Apa yang dilihat, ditafsir di fikiran membuatkan kata hati berbicara. Ditambah pula perbualan denagn abah malam tadi tentang "kerosakkan" orang Melayu meresahkan diri saya. Entah, saya tiba-tiba merasakan tanggungjawab ini berat. Memasuki " Dunia baru " ini memang memerlukan teman agar kita tidak keseorangan. Pesanan buat mereka yang masih di Jordan atau di luar Malaysia, carilah bekalan yang cukup agar kalian mampu membina perisai untuk berdiri teguh di tanah air. Perkara baru yang saya baru benar-benar rasai.
Saya tiba di KLIA sekitar jam 11 malam. Alhamdulillah semuanya ok cuma beg Nadia tersangkut di Bangkok, tapi dah dapat esoknya. Malam tu, saya tak rasa penat sangat, mungkin seronok agaknya. Terkejut juga melihat adik lelaki saya yang bongsu, Shakir semakin tinggi, 170 cm pada umur 15 tahun. Saya tiba di rumah sekitar jam 1.00 pagi. Mlam tu saya bersembang denagn mak. Lama tak borak panjang dengan mak. hampir jam 4.30 pagi baru saya dan mak melelapkan mata.
"Bukan senang Ngah nak bela anak perempuan ni. Betul la cakap orang kat mak dulu, Mus nanti bila ko dah ada anak , tidor pun tak bleh lena dah. Mata pejam tapi fikiran tu sentiasa pikir hal anak-anak. Makin ramai, makin banyak kerenahnya .." itulah antara isi perbualan kami. Huh!! macam-macam terfikir di kepala ni.
Pesan saya pada diri, adik beradik ku dan kalian yang bergelar anak, jagalah diri dan maruah ibu bapa kita di mana-mana kita berada. Benar, iman tak dapat diwarisi. Saya juga takut andai tersilap langkah. Sama-samalah kita doa agar ibu bapa kita berada di dalam golongan yang di redhoiNya.
:: Marilah menjadi anak yang membahagiakan ibu & ayah ::
Saturday, July 11, 2009
Sentiasa dihati ^_^
pejam celik sudah hampir 4 tahun saya dan rakan-rakan berada di bumi Jordan. Bermastatutin sementara sebagai pelajar di sini. Datang dengan membawa harapan mak abah dan amanah dari MAIS , kini pulang untuk memberi apa yang telah kami perolehi..
Pagi ini merupakan pagi terakhir saya di sini. Rasa sayu mula bersarang dihati yang sudah bermacam-macam perasaan. Sungguh, nikmat Allah itu terlalu banyak tak mampu untuk kita menghitungnya.
kebetulan yang cukup bermakna.
bila memikirkan kembali perjalanan ke sini, saya merasakan ia semuanya kebetulan. Kebetulan yang sebenarnya adalah taqdir yang telah ditetapkan oleh Dia. Kebetulan apabila ada satu lagi tempat kosong untuk ke Jordan setelah permohonan kali pertama tidak berjaya kerana kota telah penuh. Tetapi apa sahaja boleh terjadi tatkala Dia mahukan ia terjadi. Kebetulan berjumpa kawan-kawan lama di sini, teman seperkolahan dan kelakarnya rakan sekelas ^_^
terima kasih atas huluran ukhwah.
Hidup jauh dari family benar-benar menguji saya lebih-lebih lagi saya tidak pernah duduk di asrama dan belajar di luar Selangor. Dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah semuanya dekat atau kata lain semuanya depan mata.
kekok. blur. bosan. sensitif. kedekut.
itulah saya ketika mula-mula memulakan kehidupan. Maklumlah orang yang hidupnya tidak pernah berkongsi barang, ada tempat bergantung jauh dari keluarga membuatkan saya "sangat teruk" . tetapi saya bersyukur dikurniakan teman serumah yang banyak membantu. dan alhamdulillah semuanya telah berubah dari "sangat teruk" kepada "baiklah kot" ^_^
kepada akhwat di Jordan amnya dan irbid khususnya saya ucapkan terima kasih atas huluran ukhuwah sepanjang kita berkenalan di sini. Semalam ada sedikit "kebanjiran" tatkala saya dan Nadia mengucapkan selamat tinggal kepada teman-teman di Mafraq. Perkenalan kami singkat tetapi kasih dan sayang yang dirasakan amat mendalam.
Inilah manisnya ukhuwah islamiyah. dan mungkin kerana kemanisan yang sahabat-sahabat Nabi rasakan dahululah menyebabkan mereka sanggup bekorban apa sahaja demi sahabatnya.. hebat bukan persaudaraan Kaun Ansar dan Muhajirin satu ketika dahulu tetapi kini sayang ia semakin hilang kerana kita telah dijuzu'-juzu'kan agar semangat perkauman, semangat kenegerian semakin menebal dan kita semakin jauh.
buat semua, carilah kemanisan ukhuwah jika anda mahukannya. Ia tidak datang dengan sendirinya tetapi ia perlu dicari.
jordan mengajar erti pengorbanan dan penghargaan
" min ahla maliziya am urdun" (mana lagi cantik, malaysia atau jordan) soalan yang sering ditanya oleh kawan-kawan arab disini.
" tabaan malizia walakin urdun kaman hiilu " (tentulah malaysia tapi jordan pun ok je ) dan inilah jawapan yang selalu saya berikan.
Ye, Malaysia tentunya jauh lebih cantik andai dibandingkan dengan Jordan. tetapi pengembaraan ilmu di bumu anbiya' ini cukup bemakna. Dua elemen penting yang saya perolehi di sini memberi kesan yang besar dalam diri.
Bekorban demi adik junior, menyambut kedatang mereka dengan persediaan yang tidak seberapa. Belajar membantu orang lain, mengutamakan keperluan mereka sebelum keperluan diri. Bekorban masa lapang untuk membantu mereka yang memerlukan dan paling penting bekorban hati dan perasaan demi memberi laluan kepada keutamaan yang perlu diutamakan.
Menghargai air yang sememangnya cukup bernilai lebih-lebih lagi di musim panas, mengahargai kehidupan sederhana dan cukup-cukup, menghargai orang di sekeliling kita dan menghargai apa yang kita ada supaya kita lebih menjadi hambanya yang tahu bersyukur.
Alhamdulillah kerana Allah memilih saya untuk merasainya dan moga-moga ilmu pengorbanan dan penghargaan yang saya pelajari di sini dapat menjadi perisai buat nati agar cekal dan tabah dalam menghadapi kehidupan dan perjuangan sebenar di Malaysia.
Malam ini kami akan bertolak ke aiport, dan buat kali terakhirnya di sini. Andai ada jodoh kami di sini, insya allah kami pasti akan kembali lagi.
Doakan perjalanan saya dan rakan-rakan selamat hingga ke pintu rumah ^_^
Monday, June 22, 2009
Ya Allah, kuatkanlah dia..
Tiba-tiba mahu mencoretkan sesuatau pagi ini..
Bertemu dan berkenalan dengan beliau ketika kami sama-sama bekerja di dalam persatuan. Permai sesi o6/o7 menjadi tapak permulaan ukhwah kami. Ketika itu kami sama-sama berada di tahun 2, tugas yang berbeza, saya sebagai Timbalan Bendahari, beliau sebagai Timbalan Biro Kebajikan & Penerbitan..
Asma' Khalid..
Orangnya manis, nampak macam seorang yang tegas tetapi beliau seorang yang peramah. Bakat seni yang dimilikinya membuatkan saya kagum. Bakal doktor tetapi hebat menukis cerpen, melukis komik. Moga-moga jiwa halus yang dimilikinya bisa menjadikan beliau doktor yang lebih penyayang pada pesakitnya.
Pertengahan tahun 2007, desas desus berita bahawa beliau akan berkahwin sampai ke telinga saya dan rakan-rakan. Mula-mula saya rasakan ianya sekadar "gosip-gosip" di irbid, tetapi ketika hujung sesi kami di dalam persatuan, beliau menjemput semua ahli mesyuarat PERMAI ke walimahnya selepas selesai mesyuarat muhasabah.
Alhamdulillah.. Kami gembira sangat. Bersyukur sahabat kami ini sudah sampai jodohnya. Selesai mesyuarat, kami ke dapur menyiapkan jamuan untuk ahli mesyuarat. Persolan kami masih belum terjawab lagi, siapa bakal suami Asma' ye??
Asma' suruh kami teka. Macam-macam nama dah tercalon tapi satu pun tidak tepat. Akhirnya nama Aiman Rosli juga terkeluar dari mulut Asma'.. Alhamdulillah, kami bersyukur sekali lagi. Jodoh yang soleh insya allah.
Kini Asma' mengandung anak yang pertama. Ibu muda ini sedang sarat. Sepatutnya dah sampai due, tapi baby masih lagi belum sedia. Mungkin diwaktu ini Asma' dan suami dilanda keresahan, tambahan kuliyah Asma' untuk semester ini telah bermula..
Untuk Asma'..
Sabar ye ukhtie.. Kita sama-sama doa yang terbaik. Allah tak akan memberi bebanan yang kita tak mampu pikul. Allah tahu Asma' seorang yang kuat, Dia mahu mendidik Asma'. Allah sayangkan Asma'. Moga segala sakit, penat lelah Asma' selama 9 bulan lebih ini menjadikan amalan baikmu bertambah berat..
Kami doakan Asma'&Aiman sentiasa dirahmatiNya. Moga kalian dikurniakan anak-anak yang sihat, cergas dan menyejukkan hati ummi dan abinya..
Saturday, June 20, 2009
Masanya tiba jua.. Haflah Takhrij
Alhamdulillah ada juga masa untuk saya menulis petang ini. Jadual yang padat, pengembaraan yang bersambung-sambung dari 15 Jun hingga ke 20 Jun memang memenatkan tapi menyeronokkan.. Mungkin entry akan datang saya akan berkongsi pengalaman pengembaraan di bumi Syam ini..
Setelah hampir 4 tahun menghadapi liku-liku kehidupan bergelar penuntut ilmu di bumi anbiya' ini, akhirnya saya dan rakan-rakan berjaya menghabiskan ijazah kami yang pertama. Alhamdulillah berkat doa abah mak dan semua kami merasai kemanisan memegang segulung ijazah. Terima kasih ya Allah kerana mengizinkan kami mengecapinya.
17 Jun 2009 hari yang amat manis dalam hidup saya dan rakan-rakan seperjuangan. Hari graduasi kami pelajar-pelajar fakulti Syariah dan pengajian Islam Universiti Yarmouk kali ke- 30. Perasaan bercampur baur. Ada rasa gembira, sedih, takut dam macam-macam rasa dalam hati. Tak tahu nak digambarkan..
Rasa sekejap sahaja masa berlalu. Seperti semalam baru kaki ini melangkah keluar dari Airport Queen Aliaa, Jordan. Dikelilingi teman-teman baru, gurau senda kakak-kakak senior masih terbayang-bayang difikiran. 1001 pengalaman hidup saya rasai di sini..
Jam 2 petang majlis bermula. Bagi saya ini bukanlah kali pertama saya pergi ke majlis konvokesyen di Yarmouk. Kali pertama menghadirinya ketika senior kami dari IKIP khirij (grad) tahun 2006. Suasananya seperti pasar borong atau mungkin seperti menonton pesta bola di stadium.. Suasana hingar-bingar dengar suara pekikan, nyayian dan pukulan gendang yang kuat membuatkan telinga hampir pekak dibuatnya.. Tetapi inilah dia suasana haflah khirij di sini.
Kini, kami melangkah kembali di dewan konvokesyen ini. Bukan lagi untuk meraikan senior, tetapi untuk diri sendiri. Sewaktu ucapan wakil pelajar di atas pentas, hati saya sebak tatkala ucapannya mengucapkan tahniah kepada ibu bapa yang hadir di atas kejayaan anak-anak mereka. Air mata saya bergenang, cuba ditahan agar tidak gugur. Tiba-tiba teringat kepada emak dan abah di Malaysia. Alangkah seronoknya jika merka turut hadir, sama-sama berkongsi kejayaan ini..
Jam 2.40 petang majlis berakhir.. Sekejap bukan. lebih kurang 40 minit sahaja masa yang diambil untuk menyampaikan ijazah kepada lebih kurang 100 lebih graduan. Memang macam kartun. Selesai majlis, kami tak sempat untuk beredar keluar kerana tempat duduk kami diserbu oleh keluarga graduan-graduab Arab yang lain. Kami tersekat dicelah-celah kumpulan anak-anak muda yang berkumpul dan menari di tengah-tengah dewan.
Sesak..
Panas..
Letih..
Akhirnya dapat juga teman-teman diluar menemui kami. Kami sempat bersalaman dan bergambar sebelum diarahkan keluar kerana dewan mahu ditutup. Kami menyambung sesi fotografi di luar dewan. Penatnya mengalahkan model ditambah bahang matahari yang terik petang itu. Jam 4 petang kami beredar dari universiti setelah selesai bergambar bersama teman-teman dan ibu bapa yang hadir.
Terima kasih kepada yang hadir..
Terima kasih kepada yang sudi memberi bunga..
Terima kasih kepada yang membawa kamera dan mengambil gambar ^_^
Insya Allah kita jumpa lagi.. Kepada teman seperjuangan, ini bukan pengakhiran kita dalam menuntut ilmu tetapi ini adalah permulaan perjalanan kita..
Selamat melangkah ke alam yang baru..
Doakan kami berjaya. Moga ilmu yang diperoleh memberi manfaat buat diri dan ummah.
alf mabrook 'alaikum jamiaan..
Friday, June 19, 2009
Syura : Hikmah pensyariatannya di dalam Dunia Politik
Syura pada maksud istilah adalah mengambil pandangan atau erti kata lain berbincang atau bermesyuarat. Pensyariatan syura oleh Allah s.w.t memberi banyak impak dalam kehidupan manusia khususnya umat Islam. Pendapat yang dikeluarkan dari sekumpulan orang selepas berbincang mengikut petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah menunjukkan Syura adalah salah satu tanda kesempurnaan aqal yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.
Allah mengambarkan sifat orang mu’min yang disukainya adalah mereka tidak akan membuat sesuatu keputusan dalam sesuatu perkara sehinggalah mereka duduk berbincang atau bersyura.
FirmanNya : dan bagi orang-orang yang mematuhi seruan tuhan dan melaksanakan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka.. (surah as-syura : 38)
Syura sangat mempengaruhi system pemerintahan antara Khalifah dan rakyat terutama dalam pentadbiran politik dan pelaksanaannya didalam sesebuah negara Islam. Jumhur ulama’ dan Ahli Ta’wil berselisih pendapat dalam hukmah pensyariatan Syura. Antara pendapat-pendapat mereka adalah :
Pendapat Pertama oleh Al-Hassan Al-Basri, Dhohak bin Mazahim, Abdullah bin Abbas, Sufiyan As-Sauri, Ibn Taimiah : Membantu pemerintah dalam melaksanakan dan mengaplikasikan syura dalam dunia politik.
Pendapat Kedua : Menghormati pandangan pimpinan dan rakyat
FirmanNya : “ Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusa itu ( urusan peperangan dan hal-hal duniawi seperti urusan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lain) “… (surah al-Imran :159)
Apabila pemerintah meminta pandangan pemimpin bawahannya dan rakyat kemudian bermesyuarat, ini menunujkkan kemuliaan dan ketinggian darjatnya sebagai pemerintah Negara. Secara tidak langsung, ia menunujkkan bahawa Islam tidak memandang remeh idea atau pendapat yang dikeluarkan oleh ummah kerana mustahil bagi pemerintah untuk mentadbir Negara tanpa bantuan dari oaring lain yang layak membantu pemerintah. Perbincangan yang dilakukan bersama menunjukkan kepercayaan pemerintah kepada mereka yang dipimpinan dibawahnya disamping memperoleh keputusan yang diredhoi dan dihormati oleh rakyat.
Syura adalah salah satu cara pertolongan oleh rakyat yang mana menunujukkan pandangan yang benar dan layak untuk diikuti. Selain itu, ia juga memberi ketenangan kepada pemerintah kerana melaksanakan sesuatu mengikut kehendak rakyat yang dipimpin dibawahnya dan member kekuatan kepada pemerintah dan pemimpin-pemimpin dalam mentadbir Negara.
Selepas sesuatu perkara disyurakan dan Khalifah akan mengambil keputusan akhir dan dilaksanakan sepertiman yang telah duputuskan dalam majlis syura. Hasil daripada keputusan yang dibuat akan dapat dilihat setelah ia dilaksanakan.
Apabila pemerintah mengambil pandangan dari ahli syura, menunjukkan ianya (pandangan) keluar daripada pemerhatian, tujuan, pemikiran dan kecenderungan mereka kerana ahli-ahli politik itu dikenali dengan cara mereka bermesyuarat. Justeru, pemerintah dapat membezakan antara mereka yang berkemampuan (dalam memimpin)atau tidak , perkara yang perlu dinasihati oleh orang Islam atau tidak dan dapat menjauhkan mereka yang berpura-pura (munafiq) yang akan membawa kepada masalah dalam Negara.
Wednesday, June 3, 2009
Terima kasih Ya ALLAH...
Alhamdulillah.. Segala puji hanya bagiNYa. tiada tuhan yang layak disembah melainkan Dia..
Syukur.. kalimah pertama yang terucap di bibir tatkala melihat markah yang tertera di depan mata.. Keputusan akhir telah pun keluar. Alhamdulillah saya dan rakan-rakan lulus semua subjek terakhir kami. Target masing-masing juga tercapai , alhamdulillah..
Terasa seperti mahu memeluk abah dan emak jauh nun di sana. Ini hadiah dari angah yang tak seberapa untuk abah dan emak. Angah tak punyai harta untuk membalas jasa dan pengorbanan kalian, namun andai berjuta pun wang ringgit yang diberikan belum tentu nilainya setara dengan nilai pengorbanan kalian..
Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat dari semua. Alhamdulillah, berkatnya doa seorang adik, seorang kakak dan seorang teman untuk kami semua.. terima kasih ye ^_^
Terima kasih ya Allah atas nikmat yang Kau berikan ini. Moga-moga kenikmatan yang diberikan ini menjadikan kita hamba yang sentiasa bersyukur dan tahu berterima kasih pada Dia..
mari menebas ^_^
Lama rasanya tak pijak tanah.. apatah lagi bekebun.. maklumlah, duduk di rumah tak berlaman dan berpokok, tak ada lah daun-daun kering yang nak disapu.. yang ada cuma pokok zaitun dan limau je dibelakang rumah..
pagi ni ada saya dan kak aimi menyertai adik-adik rumah Insyirah menebas lalang di laman rumah mereka yang dah macam hutan belukar rupanya.. Mengisi masa cuti, lagipun dapat juga mengeluarkan peluh.. Sambil-sambil bersenam ;) hehehe
Seronok rasanya.. terasa macam berkebun di kampung-kampung je.. ditambah celoteh adik-adik yang macam nenek-nenek ni, terhibur rasanya.. Tapi kelakar pun ada, maklumlah, rumah ditepi jalan menjadi tumpuan kereta lalu lalang.. ada yang pelik melihat kami bergotong-royong...biasalah pelajar malizi menjadi tumpuan lebih-lebih lagi dengan "aktiviti" menebas lalang di depan rumah..
Lepas ni tak payahlah nak upah pak cik arab tebas semak depan rumah ni.. Adik-adik Insyirah ni semuanya berbakat jadi tukang kebun dah hehehe jangan marah ek, akak gurau je.. Kata shafiqah " akak ni orang nak balik ada kenagan best-best, akak ni pergi menebas lalang pulak " .. saya membalas " tak pelah, tebas lalang, bakar sampah ni pun kenangan jugak.. bukan semua orang dapat pun kan"
alhamdulillah cerah lah sikit laman rumah insyirah.. sakit luka terkena duri, panas membakar sampah dan gatal-gatal tangan mula terasa bila semuanya dah selesai..biasalah tu, adat berkebun.. apa pun, seronok tetap ada, dan paling penting kenangan manis bertambah di dalam diari kembara saya di jordan..
Alhamdulillah..
Alhamdulillah, kelmarin saya dan rakan-rakan telah selamat menjalani peperiksaan yang terakhir kami.. madah ikhtiari yang amat digeruni.. tapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar..
Peperiksaan telah berakhir tidak bererti pengharapan kita pada Allah juga telah berakhir.. Ingat sebagai penuntut ilmu dan hamba Allah, doa dan pengharapan kita perlu berterusan selagi mana kita bernafas dalam nikmatNya.. Jangan jadikan solat hajat, solat taubat, dan Qiammulail kita bermusim.. Pasang surut ibadah kerana ada sesuatu lebih-lebih lagi bagi seorang pelajar..
Musim exam adalah musim "naiknya" iman.. ibadah yang sunat ditambah malah digandakan.. sebaliknya hari-hari biasa iman kita "istiqamah" dalam kesederhanaan. itupun jika ia istiqamah, jika ia "turun" lagi la parah.. Sama-sama kita nilai kembali iman kita lebih-lebih lagi setelah selesainya peperiksaan..
Asam garam menjawab periksa.. Kadang-kadang ada yang keluar dewan dengan hati yang gembira, tapi ada juga yang keluar dengan linangan air mata.. Semuanya telah ditetapkan oleh Dia.. yang penting jangan sesekali putus asa dari rahmatnya.. Susah senang sebagai penuntut ilmu akan membuatkan kita lebih menghargai Ilmu yang kita perolehi.. Bagi mereka yang benar-benar menghayati syarahan doktor di dewan kuliyyah, pasti akan terasa nikmatnya menghadiri kuliyyah kerana bukan sahaja terisi ilmu akademik, malah ilmu kerohanian dan jiwa juga turut terisi..
Persediaan mental & Jiwa ..
Kadang-kadang dah rasa tepu sangat kepala nak membaca dan menghafal.. Dah letih rasanya.. sempat lagi teman serumah berseloroh.."agaknya kita ni dah tua kot.. dah susah nak menghafal ni ha.." entah agaknya la tu hehehe
Suatu hari sewaktu kami bersiap-siap untuk ke universiti untuk exam, seorang junior singgah ke rumah, nak ambil handphonenya teringgal kat rumah. dia baru sahaja exam.. tapi ada sesuatu yang merisaukannya. dia mahu menangis kerana takut, perasaan yang bermacam-macam singgah dihatinya setelah keluar dari dewan peperiksaan. Beliau risau.. saya memujuk, saya katakan..
" dah jangan risau sangat. insya allah khair.. biasalah kadang-kadang kita blur masa dapat kertas soalan. rasa kosong. Allah nak uji kita, sejauh mana yakin dan tawakkalnya kita pasa Dia. Dah jawab periksa tak semestinya tak boleh doa dah.. Allah tu adil, teruskan doa, buat solat hajat moga-moga dipermudahkan semuanya.. Ingat, kadang-kadang kita rasa sudah bertawakkal pada Allah setelah berusaha. Namun, bila dapat natijahnya, kita kecewa. kenapa?? bukankah kita dah berusaha, doa dan bertawakkal padanya?? Sebab tawakkal kita melebihi keyakinan kita pada Dia yang menentukan natijahnya. Apa guna kita bertawakkal andai tidak meyakini pada natijah yang akan Dia berikan.. dah, jangan sedih-sedih.. terus usaha untuk paper seterusnya.. ok?? "
Usaha satu perkara yang subjektif.. Sejauh mana kita dapat menilai usaha yang kita lakukan lebih-lebih lagi di dalam peperiksaan.. kita merasakan kita sudah berusaha.. Habis semua silibus telah dikhatamkan, latihan sudah dibuat, kulit buku dah nak lunyai dibuatnya dek kerana membelek setiap hari, solat hajat dan qiammullai setipa minggu, sedekah di masjid tak pernah tinggal.. tapi sudah cukup ke semua ini??? Adakah kita mempunyai kayu ukur atau mi'yar untuk menilai usaha kita?? TIDAK... hanya Dia yang bisa menilainya..
sahabat, ingatan untuk diri dan kalian semua...
jangan sesekali kita lupa tujuan kita diciptakan di muka bumi ini.. dan jangan sesekali berputus asa dalam kehidupan ini.. Insya allah kita sama-sama berdoa agar kita lulus "imtihan dunia" ini agar kita dapat menerima "ijazah kehormat" di konvokesyen akhirat nanti sebagai "pelajar ashabul yamin" dan akhirnya memasuki alam yang kekal abadi di syurganya nanti..
Bittawfiq untuk semua yang masih belum tamat exam.. Doakan juga saya dan rakan-rakan lulus semua subjek dengan cemerlang.. tinggal satu paper lagi yang belum keluar result..
Sunday, May 10, 2009
:: Exam Mode ::
em.. banyak benda nak cerita dan nak dikongsi bersama.. banyak peristiwa yang berlaku..
ada cerita sedih ada cerita gembira.. tapi masa tak mencukupi.. mungkin lain kali la..
Debaran mula terasa..
untuk semua, doakan saya dan rakan-rakan agar kami berjaya hadapi final exam yang akan menjelang dua tiga hari lagi.. Maaf atas segala salah dan silap andai saya pernah mengguris hati dan perasaan samada sedar atau pun tidak..
untuk sahabat seperjuang dan akak-akak Tahun 6 Perubatan di JUST : All the best..
" sesungguhnya ALLAH suka seseorang jika kamu dia melakukan sesuatu, dia akan melakukannya bersungguh-sungguh dan teliti "
sama-sama kita usaha.. Moga ilmu yang diperolehi bermanfaat dan dapat memanfaatkan orang lain..
" Ya ALLAH andai kejayaan kami ini baik untuk Islam, Engkau permudahkanlah segalanya, andai kejayaan kami ini tidak baik untuk Islam, Kau berilah natijah yang sepatutnya kerana Engkau lebih mengetahui urusan hambaMu ini.. amin ya rabbal 'alamin..
Jadual Exam..
13 mei 2009 : Tilawah 3 (juzu' 25&26)
26 mei 2009 : Komputer 2
30 mei 2009 : Usul Fiqh 3
1 jun 2009 :Huquq Insan (hak-hak kemanusian)
Wednesday, May 6, 2009
Artis dijulang, doktor dan guru pula dicemuh..
Assalamualaikun..
Petikan dari akhbar utusan malaysia bertarikh 11 Jamadil Awal 1430 H , 6hbMei 2009
ANUGERAH Industri Muzik (AIM) kali ke-16 baru sahaja melabuhkan sauhnya. Artis-artis yang ditabalkan sebagai pemenang dalam kategori masing-masing pulang dengan hadiah-hadiah lumayan yang ditawarkan oleh pihak penganjur. Pengiktirafan demi pengiktirafan dihamparkan kepada golongan artis atas jasa menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira tua mahu pun muda.
Malah artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara telah meraih sebanyak lebih daripada 150 anugerah seni dalam dan luar negara hasil daripada nyanyiannya yang berjaya menghibur para pendengar.
Terbaru, Tomok pula dianugerahkan dengan ganjaran RM1 juta kerana memenangi pertandingan One In A Million.
Meet Uncle Hussain juga tidak kurang hebatnya apabila telah mengungguli tiga anugerah hiburan berprestij tahun ini iaitu Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23, Anugerah Bintang Popular dan AIM ke-16.
Di sudut yang lain, doktor yang bergadai nyawa siang dan malam menyelamatkan nyawa ribuan manusia jarang diberi penghormatan sebesar itu, malah sering dipersalahkan atas kelemahan dan kecuaian yang berlaku.
Mungkin tidak ramai yang prihatin apabila para doktor dan jururawat sentiasa berada di barisan hadapan setiap kali negara dilanda wabak penyakit yang merungsingkan semua.
Lihat sahaja ketika ini, di saat seluruh dunia bimbang akan penyebaran virus influenza A (H1N1), para doktor berkorban nyawa, menanggung risiko kemungkinan dijangkiti wabak itu, apabila mereka dipertanggungjawabkan dengan tugas memeriksa setiap pelawat yang tiba di pintu masuk utama negara.
Mereka dikerah bertugas siang dan malam semata-mata bagi mengawal penyebaran wabak ini kepada rakyat Malaysia.
Perkara serupa juga berlaku ketika negara diserang virus JE dan virus Nipah. Para doktor dan jururawat jugalah yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, sehingga ada di kalangan mereka yang turut dijangkiti virus itu.
Selayaknya para doktor dan jururawat diberi penghormatan yang sebesar-besarnya atas jasa bakti menyelamatkan seluruh warga negara Malaysia tanpa mengira kaum dan ikutan agama daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini.
Kecuaian yang mungkin dilakukan oleh sesetengah pengamal perubatan tidak wajar dijadikan alasan untuk memperlekehkan mereka, sehingga seolah-olah segala jasa bakti kepada negara dilupakan begitu sahaja.
Sebagai manusia biasa yang tidak maksum, semua perlu sedar bahawa kekurangan dan kealpaan merupakan sifat semula jadi manusia. Malah yang afdal, segala kelemahan dan kecuaian yang berlaku diganti dengan usaha-usaha penambah baikkan untuk manfaat bersama.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ''Semua anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat, berhenti daripada melakukan kesalahan itu.''
Golongan guru juga sering menerima nasib yang sama. Setiap kali pelajar dihukum kerana kenakalan anak-anak, mereka dihujani dengan pelbagai tohmahan dan kata-kata nista. Masyarakat kelihatan alpa dengan cabaran dunia pendidikan masa kini yang jauh berbeza daripada zaman lalu.
Sering kali dilaporkan berita murid membelasah guru dan tidak kurang juga terdapat laporan-laporan yang melibatkan salah laku guru. Semua ini berlaku kerana faktor persekitaran yang turut menyumbang kepada masalah yang berlaku.
Oleh itu, ungkapan guru umpama lilin, membakar diri untuk kebahagiaan orang lain selayaknya dihayati dengan rasa tanggungjawab bersama. Ini kerana tugas memberi pendidikan tidak hanya terbatas kepada guru di sekolah sepenuhnya.
Ibu bapa juga wajar memainkan peranan sebagai pendidik kepada anak ketika mereka di rumah. Malah jika diteliti, mereka lebih lama berada di rumah berbanding di sekolah yang hanya memakan masa lebih kurang tujuh hingga lapan jam sahaja sehari.
Ibu bapa juga disaran menjadi contoh teladan terbaik kepada anak-anak dengan sentiasa melakukan ketaatan dan kebajikan.
Amalan solat berjemaah bersama seluruh ahli keluarga selain dapat merapatkan hubungan dengan Allah SWT juga mampu menjadi mekanisme terbaik kepada pendidikan anak-anak.
Tulisan ini tidak bermaksud untuk menyatakan isu betul dan salah, sebaliknya marilah kita seluruh warga negara atas prinsip One Malaysia, bersama berganding bahu memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang berlaku.
Amalan menuding jari menyalahkan orang lain tidak akan memberi apa-apa kebaikan untuk kejayaan bersama. Adalah lebih manis jika cadangan-cadangan penambahbaikkan disalurkan kepada pihak-pihak tertentu agar perkara serupa tidak berulang kembali.
MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran
dan Kefahaman Islam
UiTM Kampus Bandaraya,
Johor Bahru..
Tuesday, April 28, 2009
Bertandang ke Mafraq
alhamdulillah, dapat juga singgah sebentar malam ni ke blog yang lama tak dikunjungi.. Kekangan masa kerana exam dan jadual latihan Karisma menyebabkan saya kurang melayari internet.. Tapi alhamdulillah sekali lagi, saya masih diberi masa.. Kepala pun dah rasa ringan sikit bila 3 paper untuk second exam dah lepas, tinggal satu sahaja lagi. Tapi debaran juga makin terasa.. Pertengahan Mei saya dan rakan-rakan akan mula menduduki peperiksaan akhir.. Takut, risau , sedih.. macam-macam perasaan ada..
Bulan ni, dua kali saya bertandang ke Mafraq. Kebetulan diberi peluang untuk menghadiri dua program sebagai Fasilitator yang tak bertauliah..
Sabtu, 4 April 2009
Semalam saya menerima panggilan dari Kak Farah Najihah. Beliau meminta saya menjadi Fasi bagi menggantikan kak Sarah untuk program Bengkel Pengucapan Awam anjuran PRISMA. Emm, mula-mula rasa macam berat sebab saya bukanlah orang bertauliah sangat tetapi bila memikirkan untuk membantu kak Farah disamping nak cari pengalaman, saya terima.
Pagi sabtu esoknya kami bertiga bertolak ke Mafraq. Lama juga tak turun ziarah ke Mafaq ni.. Lama tak memandang panorama padang pasir di sini..
" Be A Great Speaker"
Itulah tema program kali ini. Kami sempat mendengar pengisian dari Ust Arman sebelum LDK bermula.. Setelah kumpulan dibahagikan, kami bergerak ke kelas untuk memulakan LDK..
Kumpulan saya terdiri daripada 8 orang - Kak Najwa, Izzah, Hamidah, Masyitah, Kak Anisa, Hannah, Aina dan Syahirah.
Diringkaskan, saya memulakan LDK denagr satu modul - nak kumpul keberanian mereka dalam bercakap- Saya jelaskan, semua orang boleh bercakap, tetapi bukan semua orang boleh menyampaikan..
Kenapa kita perlu pandai bercakap??
emm, jawapan ada pada anda semua. Bagi saya, kelebihan andai seseorang pandai berhujah dan berhadapan dengan umum menjadi satu aset dalam menyampaikan dakwah. Keyakinan dan kebernasan hujuah boleh menyebabkan orang tertarik dengan apa yang kita sampaikan. Tetapi jangan lupa. Semuanya datang dari Allah. Jangan terlalu bangga andai anda pandai berdebat, kerana perasaan riak dan bangga bukan milik kita, hanya Dia yang layak memilikinya.
Kelebihan kita berbeza..
Bengkel LDK diisi dengan semua peserta perlu bercakap dihadapan rakan-rakan selama 4 minit dan setiap orang akan dinilai oleh fasi dan rakan mereka. Mereka bebas bercakap tentang apa-apa sahaja dan di dalam bahasa apa pun. Macam-macam gaya ada. Seronok saya melihat gelagat mereka.
Dihujung LDK, saya membuat khulasah secara umum untuk semua. Masing-masing ada potensi dan kelebihan diri. Paling penting, kelebihan kita berbeza. Ada yang pandai bercakap, ada yang pandai menulis, melukis dan macam-macam lagi. Andai kata kita dah penat berlatih untuk bercakap kehadapan namun masih juga tak dapat, jangan risau.. Percayalah, anda ada kelebihan, dan Allah dah susun cantik kat mana kita berada..
Kesimpulannya, carilah di mana kelebihan anda dan gunalah kelebihan tersebut untuk membantu Islam dan mereka yang memerlukan.. Kelebihan kita berbeza tetapi semua orang memilikinya dan ia pasti istimewa dalam diri kita .
Petang tu, saya, kak Farah dan kak Faezza pulang menaiki servis. Terima kasih kepada akak berdua sebab belanja tambang. kata kak Faezza bila lagi nak belanja kan!! hehehe
Kepada pihak program, tahniah atas inisiatif program yang menarik malah bermanfaat ubtuk semua.. Terima kasih juga atas jemputan pada kami yang bertauliah ni..
Jumaat, 17 April 2009
" Bengkel Keusahawanan IANERIS "
Saya, Nadia dan dua lagi ikhwah dari Irbid dijemput menjadi Fasilitator untuk program anjuran Ikatan Anak Negeri Sarawak Jordan.. Mula-mula kelakar juga, maklumlah saya dan Nadia bukannya berpengalaman dalam hal-hal keusahawanan ni. Tapi memandangkan kami pernah menghadiri kursus keusarhawanan anjuran JPT dan MARA dahulu, kami berkongsi apa yang ada..
Program berjalan di Dewan Muslim. Dihadiri lebih kurang 40 orang peserta. Namun program tetap meriah. Pelbagai keletah dan gelagat peserta semasa membentangkan rancangan perniagaan mereka. Ada yang nak bina ladang kambing, pengangkutan darat dan air yang murah, Kedai dobi yang mempunyai kemudahan internet dan macam-macam lagi..
Realiti di Sarawak..
Semasa makan tengahari, kami makan dibilik VIP sambil ditemani pengarah program Kak Hajar dan ajknya, Surfina. Kami bersembang-sembang dan bertukar-tukar cerita. Pina membuka cerita tentang tempat tinggalnya di Lawas. Kawasan yang mahu dijadikan perkampungan Kristian 100% oleh orang-orang Kristian di sana. Bayangkan, sekolah agama hanya sebuah sahaja, masjid juga tidak banyak tetapi gereja dibina beratus-ratus dikawasannya. Besar dan kuat sungguh dakyah Kristian di sana.
Saya tekun mendengar ceritanya. Bukan mudah untuk mereka belajar agama di sana. Inilah realiti kehidupan masyarakat di Sarawak. Kadang-kadang sedih memikirkan guru-guru agama sangat sedikit di sana. Kalau ada pun, kadang-kadang tidak bertahan lama. Alasan berkahwin sudah menjadi kebiasaan untuk guru-guru semenanjung keluar dari ceruk kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan kembali ke semenanjung.
Ini pahit maung kehidupan dan jati diri seorang Muslim di pulau Borneo ini. Harapan kami, anak-anak Sarawak yang belajar di Jordan kan pulang membantu masyarakat mereka disamping menguatkan aqidah dan ibadah masyarakt setempat. Berat tanggunjawab yang dipikul. Namun, sama-sama kita doakan kejayaan mereka..
Demikan kisah saya bertandang sebagai tetamu ke Mafraq. Datang dengan membawa ilmu yang tidak seberapa untuk dikongsi bersama, tetapi alhamdulillah pulang membawa ilmu kehidupan yang amat berharga.. Terima kasih kepada kak hajar dan ajk atas jemputan ini..
Ada masa kita jumpa lagi di Mafraq..
Jauh perjalanan luas pengalaman.. Jauh merantau banyak kelebihan..
Thursday, April 9, 2009
Maqasid Syarie
Maqasid Syariah
Menurut ‘Allal al-Fasi dan doktor Wahbah Zuhaili : Maqasid Syariah adalah maksud, matlamat dan rahsia disebalik setiap hukum yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Kehidupan manusia berkaitan dengan tiga perkara.
Pertama dikenali sebagai “Daruriat” iaitu asas kehidupan manusia, jika hilang atau rosaknya keadaan ini ianya menjejaskan sistem kehidupan manusia. Terdapat 5 komponen dibawah “Daruriat”.
(1 Memelihara Agama : Islam mensyariatkan Jihad untuk menjaga agama, hukuman bunuh bagi orang yang murtad, kewajipan berdakwah, menjauhi Mufti yang jahil kerana dapat merosakkan aqidah manusia
2) Memelihara Diri : Pensyariatan Qisas, menghalalkan memakan bangkai ketika darurat, mengaharuskan makan dan minum serta pensyariatan perkahwinan.
3) Memelihara Aqal : Allah mengharamkan arak dan menerangkan implikasinya pada aqal,diri dan masyarakat, bahaya merokok dan dadah, kefardhuan menuntut ilmu bagi menjauhi kejahilan.
4) Memelihara Nasab Keturunan : Memelihara institusi perkahwinan, mengharamkan zina serta menjelaskan hukumannya, tidak boleh menggugurkan kandungan tanpa sebab, menjatuhkan hukuman had kepada jenayah qazaf, mengharamkan penghinaan kepada muslim yang lain tanpa sebarang alasan munasabah.
5) Memelihara Harta : Pengharaman terhadap pembaziran, mengharamkan mengambil harta orang lain dan riba’, menjatuhkan hukuman had kepada pencuri dan perompak.
Perkara kedua dikenali sebagai “ Hajiat” iaitu kehendak yang diperlukan oleh manusia untuk menjalani kehidupan yang lebih mudah dan selesa. Namun, ketiadaannya tidak menjejaskan system kehidupan manusia tetapi menyebabkan sedikit kesulitan dan kesukaran.
1) Didalam Ibadat : Islam mensyariatkan rukhsah ketika berhadapan dengan kesukaran seperti mengharuskan berbuka kepada orang yang sakit dan musafir dibulan Ramadhan, solat jama’ dan qasar jika berjalan melebihi 2 marhalah
2) Didalam Muamalat : Membolehkan jual beli berbentuk tempahan yang pada asalnya tidak dibenarkan kerana berniaga tanpa wujud barang jualan, sistem Mudhrabah dan Ijaarah (sewa).
3) Didalam Adat : Makanan,minuman,pakaian,tempat tinggal yang elok dan sempurna.
4) Didalam Jenayah : Sistem ‘Aqilah didalam pembayaran Diah(wang ganti rugi) dalam jenayah pembunuhan dimana keluarga pembunuh sebelah bapa turut membantu dalam membayar diah tersebut.
Perkara ketiga adalah “Tahsiniat” iaitu bukan keadaan darurat atau hajiat. Ia keadaan yang lebih baik, pada kebiasaannya,lebih elok,lebih mudah dengan pelbagai pilihan dan penambahan. Walaubagaimanapun, ketiadaannya tidak menjejaskan sistem kehidupan manusia atau menyebabkan kesulitan tetapi terkeluar sedikit dari norma kehidupan atau keadaan fitrah yang sempurna.
1) Didalam Ibadah : Islam menggalakan kebersihan terutama pada tubuh badan dan pakaian serta menjadikannya sebagai syarat sah solat. Menutup aurat dengan sempurna, berhias dan memakai wangian ketika ke masjid.
2) Didalam Muamalat : Mengharamkan jual beli atas jual beli orang lain, mengharamkan membunuh wanita dan kanak-kanak ketika peperangan
3) Didalam Adat : Memakai pakaian yang berwarna-warni dan pelbagai jenis, beradab ketika makan dan minum, tidak dibenarkan makan dan minum makanan yang kotor.
4) Didalam Jenayah : Wali kepada si mati memaafkan pembunuh sekaligus menggugurkan hukuman Qisas, memotong tangan pencuri sehingga putus supaya dia tidak menanggung kesakitan yang lama.
___________________________________________________________________________________
Rujukan : Kitab Maqasid Syariah Islamiah wa dirasat Usuliyah wa Tatbiqat Fiqhiah, Doktor Ziad Muhammad Ahmaidan.
: Kitab Madkhal ila Tasyri’, Doktor Abdul Karim Zaidan.
Friday, April 3, 2009
Rindu pada kalian..
Petang ni rasa rindu sangat pada family di malaysia. Baru kelmarin berborak-borak dengan mak. Entah, ada sesuatu yang mengganggu pemikiran. Ada masalah bersarang di dada.. Barangkali ini juga perasaan sahabat-sahabat yang turut mengembara di bumi illahi ini..
Rindu, kangen.. Tiba-tiba saya merasai sesuatu. Dah besar rupanya aku. Dah nak habis belajar. Kehidupan baru mula menanti. Bila memikirkannya, saya jadi takut kadang-kala untuk menghadapi masa depan.. Masa depan yang perlu dirancang dengan teliti, kerana ia tidak boleh di ulangi kembali andai diri tersilap mengatur kaki..
Banyak perkara yang saya fikirkan.. Takut untuk berjauhan lagi dengan mereka.. Tapi yang pasti saya menyedari satu perkara.. Ayong, atin, minah dan Shakir benar-benar merindui saya di sini.. Benarlah kata orang, bila berjauhan pasti ada rasa rindu. Dulu mungkin rasa macam kelakar nak ucap " I miss U " kat abah, emak dan adik beradik yang lain. Tapi jarak yang memisahkan menyebakan diri tidak lagi rasa kekok untuk mengucapkan sayang pada mereka yang tersayang..
Saya mengimbas kembali saat sebelum mengembara di bumi anbiya' ini..
" Abah, nak pilh mana ni? nak pilih joden ke nak pilih Uia? "
" Ikut suka la ngah. Mana-,ana pun boleh. Kalau gi joden pun, nadia ada kan? boleh buat kawan.."
Malam itu saya berfikir panjang. Tarikh kemasukkan ke matrik UIA semakin hampir. Mana satu yang nak pilih ni.. Akhirnya, Jordan yang saya pilih..
Jordan bukan pilihan hatiku. Sebenarnya saya mendapat tawaran ke UIA dahulu. Namun, abah yang membuat keputusan. Walaupun tanpa paksaan, tapi saya memahami isi hatinya. Abah punyai impian. Mahu melihat anak-anaknya berjaya. Kami bukan keluarga senang. Dari kecil abah bekerja 16 jam sehari. Di kilang tayar Goodyear di Shah Alam. Kadang-kadang susah sangat nak jumpa abah. Pergi kerja 6.30 pagi, balik jam 11 malam.. Sekarang di usianya 51 tahun abah masih bekerja.. Dikilang yang sama. Jawatan yang sama..
Shafak Ahmad bin Jamaldin.. Ini abahku.. Besar sungguh jasanya pada kami adik beradik. Memang tak terbalas jasanya hingga ke syurga nanti. Alhamdulillah. Bertuah sungguh mak bersuamikan abah. Abah... angah rindu sangat..
Leteran Mak amat ku rindui..
" Angger wong ngomong orak gugu, arek jadi opo to. Degil bangat "
" Gusti ala.. Adik beradik orak kenek apik-apik yo.. arek gaduh waei.. sok-sok angger mak wes mati sopo to arek boco doa karo mak!! " (paham ke??!!)
inilah leteran kami adik beradik andai "radio" mak telah berbunyi =) pastinya bahasa yang asing itu akan keluar dari mulut mak.. em biasanya, bila bahasa ibunda ni dah keluar tandanya mak dah marah sangat.. kadang-kadang sakit juga telinga menahan kepedasan kata-kata mak ni.. tapi nak buat macam mana.. Dah sendiri buat silap, tanggunglah sendiri..
Mak memang garang. Padanlah dengan anak-anaknya yang degil-degil belaka ni.. Tapi inilah yang mendewasakan kami. Ketegasan dah cara hidup sederhana yang diterapkan dalam diri kami. Kami sering diajar satu perkara.. Bukan semua yang kami nak akan mak dan abah tunaikan. Mak nak kami belajar. Terima apa yang ada..
Atin pernah menangis sebab mak masak lauk sayur bening ngan ikan masin je. Dia sanggup tak makan. Katanya lauk tak sedap. Masa tu mak tak layan. Kata mak, orang merajuk lapar nanti. Mak pun mulalah membuka diari kehidupannya bersama Yoyot (moyang) dahulu.. Lebih susah dari kami. Sepatutnya kami beruntung, tak pernah kena cari makan sendiri. Dapat belajar, rumah yang selesa. Tak macam mak. Belajar sampai darjah 4 je. Tak ada duit belanja. Pergi sekolah pun jalan kaki..Kasut pun kasut plastik je..
Inilah mak ku.. Musriah Bt Ramli.. Dia kebanggaanku.. Tiada insan dapat menggantikannya.. Sungguh, saya rindu untuk mendengar leteran mak..
Alhamdulillah.. Kedua-duanya masih ada. Beruntung kan. Kita yang masih ada ibu dan ayah ni. Tapi kenapa sukar untuk kita mengucapkan kata sayang pada mereka.. Selagi ada masa, lafazkanlah kata sayang pada mereka yang anda sayangi..
Mak.. Abah.. Angah rindu sangat.. Ayong, Atin, Minah dan Shakir nanti kita gi jalan sama-sama ek. Pas angah grad.. Terima Kasih Ya Allah menganugerahkan rahmat kasih dan sayamg mu pada kami sekeluarga.. Rahmatilah keluarga kami..
Tuesday, March 31, 2009
Saat Bersama Mu...
Tiba-tiba rasa nak berkongsi emel yang difoward oleh rakan saya ni..
Pada mu yang bergelar Wanita.. Hayatilah..
Aku suka melihat wajah ibu..
Sering kurenung wajah tenang ibu,
Ibu sering berbicara denganku
walaupun aku masih belum dpt mengerti bait-bait kalimahnya..
Ibu tahu walaupun aku belum dapat mengerti,
Ibu yakin aku dapat mengingati..
Saat ibu bercerita, aku curi-curi pandang matanya
…yg bersinar riang menterjemahkan kebahagiaan yang dikecapi
Lembut wajahnya
....memancarkan tawadhu’ di dalam limpahan kesyukuran.
Garis-garis halus wajahnya
..melambangkan ketabahan
Lunak suaranya
…penuh kasih sayang dalam ketegasan.
Ibu mengungkapkan kata2nya sambil membelai-belai rambutku,
"Wahai anakku, Ketahuilah asal usul dirimu…engkau lahir dari harapan seorang ibu yang pernah kuukir dahulu, sebuah harapan yang kufikir tinggal harapan, namun keindahan tawakkal telah menjadikannya suatu kenyataan.."
"Ibu tidak merasa terlalu awal untuk menitipkannya untukmu kerana ibumu ini mahu kau membesar dgn fikrah seorg wanita solehah.Kelak akan kuulangi nasihatku bila kau sudah dewasa, supaya pada ketika itu kau tidak merasa asing dengan mutiara-mutiara nasihat ibumu ini.Dan seandainya ditaqdirkan ibumu tidak berkesempatan, diriku tidak akan mesyesal kerana telah pun menyampaikannya kepadamu, permata hatiku."
…dalam keluarga,dirimu umpama madrasah yg akan mentarbiyyah pejuang-pejuang Islam. Sesungguhnya Baitul Muslim soleh harus mempunyai madarasah yg solehah karana dari Baitul Muslim yg soleh akan lahirlah masyarakat dan Negara yg soleh wal muslih.
Anakku,
Andai kau ingin memilih pendamping hidupmu,
Usahlah dilihat pd sebuah kesempurnaan krn manusia tiada sempurna.
Dia perlulah seorang yg mencintai Allah dan mengasihimu kerana Allah.
Carilah dia yg menerimamu seadanya sebagai seorg wanita,
Yang seikhlas hati mengasihimu sebagai isteri,
Yang jujur padamu sebagai teman hidupnya,
Yang memuliakan dirimu sebagai ibu kepada para zuriatnya.
Yang memahami hakikat dirimu sebagai hamba yg punya kewajipan kepada Pencipta,
Yang mengobarkan semangatmu untuk istiqomah di medan da’wah
Siapa pun dia yg telah ditaqdirkan Allah buatmu,
Terimalah segala kelebihan dan kekurangannya,
* Kekurangannya menterjemah hakikat dirinya sebagai seorang hamba.Yang harus kau terima dengan penuh lapang dada.
* Kelebihannya bermaksud Allah menginginkan kebaikan buat dirinya dan menganugerahkan ketenteraman tika kau bersamanya.Yg harus kau terima penuh kesyukuran tanpa bangga.
Carilah dia yg memahamimu secara reality,
Bukan menganggapmu bak bidadari,
Kelak ditakuti hatinya akan kecewa.
Hanya kepadanyalah, yang telah halal bagimu akan kau curahkan
-kepatuhan dan penghormatan..
-Pengorbanan dan kesabaran..
-cinta dan kasih sayang..
-senyum manis dan belaian..
Hanya padanya anakku, tidak sesekali lelaki ajnabi, mujahadahlah untuk memelihara kemuliaan dirimu semata-mata mengharap redha Allah.
Lalu, kau didiklah zuriatnya yang kau lahirkan dgn penuh amanah
.. sejak zuriatmu di dalam kandungan lagi, perhatikanlah akhlakmu, makananmu, agar darah yg membentuk dirinya dari sumber yg suci.
.. Perdengarkanlah ia dengan alunan zikir dan Kalam Ilahi.
Agar bila lahirnya nanti perkara kebaikan adalah kebiasaaan dirinya.
Isi semangat ingin tahunya dgn mengenal Allah, sunnah Rasulullah,para sahabat dan sahabiah.
Lenturlah lidah lembutnya dgn sebutan zikir dan bacaan alQuran,
Serikan hidupnya dgn keindahan bi’ah solehah qudwah hasanah dari ibu dan ayah,
Hiasi dirinya dgn keindahan akhlak jua kecintaan pd ilmu.
Susuli perbuatan baik dan kejayaannya dgn pujian diiringi rasa tawadhu’.
Iringi setiap kesalahan dan silap perbuatannya dgn teguran berhikmah dan penuh kasih sayang.
Doronglah dia sentiasa supaya tetap berjuang di medan dakwah,
Memimpin ummah menuju hidayah.
Lazimi dirimu dgn taqarrub ilallah, sesungguhnya jalan menuju Allah
tidak dihampari karpet merah.Malah berliku jua banyak halangannya.
Walau apa jua yg kau terima dari Allah, samada yg membuatmu suka mahupun berduka,
Kembalikan segalanya kepada Allah.
Kerana dariNya kiita datang dan kepadaNya kita kembali.
" Semoga kau tabah anakku menghadapi ranjau kehidupan, doa ibu akan sentiasa bersamamu walau di mana dikau berada.Carilah dan tambahkanlah ilmu dari pelbagai sumber ilmu dan pengalaman.Moga dikau menjadi penerus rantaian perjuangan ibu ayah.Semoga kau menjadi saham kebaikan buat ibu dan ayah di akhirat. Maafkan kami seandainya terdapat kekurangan pada didikan kami padamu kerana kami juga manusia biasa yg penuh kelemahan.”
Kumerasakan dingin dahiku dikucup ibu penuh kasih, hangat air matanya menitis ke wajahku…sungguh bahagianya aku memiliki insan mulia sepertimu. Alhamdulillah.Terima kasih ibu. Semoga aku dikurniakan keizinan dan kekuatan untuk memenuhi harapanmu, ibu.
Wednesday, March 25, 2009
FREEMASON : Ancaman Globalisasi Umat Islam
Dunia semakin membangun, kemajuan teknologi semakin canggih, prasarana juga semakin inovatif. Namun, sejauh mana terbangunnya minda umat Islam, sejauh mana kehadapannya kita di pentas dunia, dan paling penting sejauh mana teguhnya aqidah kita merentasi gelombang ideologi-ideologi yang semakin menggoyahkan keimanan kita?
Sedar atau tidak musuh kita telah lama mengatur startegi mengorak langkah untuk menghancurkan Islam. Setelah tewas di dalam Perang Salib, King Louis ke-9 telah mengatur satu startegi baru. Umat Islam tidak bisa ditewaskan melalui peperangan senjata. Kekuatan dan semangat mereka yang kental amat sukar digugat. Satu persidangan diatur dan hasilnya mereka menemui senjata terbaru. Senjata yang kini telah hamir berjaya mengalahkan umat Islam. “Perang Saraf”.. itu senjata mereka. Banyak propaganda dan provokasi yang dilakukan terhadap agama yang dibawa oleh Muhammad S.A.W ini. Antaranya adalah gerakan Freemason.
Logo Freemason
Apa itu Freemason? Mungkin sebahagian kita pernah mendengar atau membacanya di mana-mana dada akhbar dan majalah. Menurut ensiklopedia bebas, Wikipedia , Freemason bermaksud sebuah organisasi social yang berasaskan persaudaraan di peringkat antarabangsayang muncul daripada asal yang kabur antara akhir abad ke-16 hingga awal abad ke-17.. Biarpun melihat pada dasarnya ia sebagai sebuah organisasi social yang melakukan kerja-kerja kebajikan secara sukarela, sebenarnya tersembunyi disebalik gerakan ini, misteri dan mitos upacara ritual yang bertentangan dengan agama. Ulama’ Islam serta beberapa gereja di barat turut melarang penganut masing-masing menganggotai gerakan Freemason.
Antara falsafah Freemason : Agama yang boleh diterima oleh semua manusia, yang boleh membawa maksud agama yang dipersetujui oleh semua manusia… menjadi seorang manusia yang baik dan benar. Freemason berkembang di Amerika dan menjadi sebuah organisasi yang kukuh. Buktinya, George Washington , Presiden Pertama Amerika yang dilantik pada 30 April 1789 dikenali umum sebagai anggota Freemason, dan ramai lagi sebenarnya . Contohnya seperti Benjamin Franklin dan William Hopper.
Gambar G.Washington
Persoalannya sekarang, mengapa Freemason dikatakan menyebar agenda yang berbahaya terutamanya kepada umat Islam? Apakah matlamat sebenar pergerakkan ini? Apakah propaganda yang dibawa oleh gerakkan yang telah bertapak hamper 400 tahun ini?
Antara agenda rahsia mereka ialah membina kembali Kuil Haikal Sulaiman atau The Soloman Temple. Christopher Knight dan Robert Lomas – penulis buku – The Hiram Key ; Pharoas, Freemason and The Discovery of the Secret Scrolls of Jesus menyatakan pergerakan ini berasal dari pejuang-pejuang Salibiyyah yang bertujuan memelihara Kuil Haikal Sulaiman.
Mereka mempercayai bahawa perlunya membina kembali Haikal Sulaiman ini di Baitulmaqdis di atas tapak runtuhan Dinding Ratapan, tempat ibadat orang Yahudi dahulu. Tapak ini didakwa berada betul-betul di atas tapak Masjid Al-Aqsa sekarang ini.
Menurut seorang penulis buku Turki – Ancaman Global Freemason – Harun Yahya atau nama sebenarnya Adnan Okhtar mendedahkan didalam bukunya bahawa Freemason membawa fahaman materalisis dan semua agama adalah sama. Malah falsafah mereka berdasarkan dewa-dewa kuno Mesir dahulu. Menurutnya lagi, Freemason bukanlah sekadar NGO biasa, tetapi ia membawa teras Ideologi Agama Universal dan menyebarkannya secara umum.
Kitab Masonic menjelaskan lagi perancangan mereka untuk mewujudkan satu agama universal untuk semua manusia di dunia ini. Masonic Ideology yang menerapkan pemikiran meterialisme dan juga pemahaman bahawa semua agama itu sama dimasukkan secara halus melalui media massa, sastera, filem-filem, muzik dan segala macam bentuk hiburan yang ada.
Freemason juga membawa ideologi Rasisme, Fasisme, Sekularisme, dan juga Komunis. Malah gerakan ini menjadi penyokong kuat Teori Revolusi Manusia atau Darwanisme yang terang-teranagan menolak kewujudan Tuhan dalam penciptaan manusia.
Benarkah Freemason bertapak di Malaysia??
Persoalan ini bermain-main difikiran selepas membaca majalah Mastika yang membawa isu Freemason ini. Menurut wawancara Mastika bersama Mohd Taib Haji Abbas, sukar untuk beliau meyakinkan betapa bahayanya Freemason ini kepada orang Melayu ketika itu kerana ramai yang tidak percaya, malah ada pemimpin yang pernah memperlekehkan isu Freemason yang dibawanya. Mohd Taib merupakan salah seorang pejuang yang menentang gerakan Freemason di Tanah Melayu sekitar tahun 1970-an hingga lewat 1980-an dan beliau ada menulis buku bertajuk “ Jatuhnya Kerajaan Freemason ”.
Menurutnya lagi, banyak bukti menunjukkan Freemason dalang kepada beberapa peristiwa. Contohnya, Kejatuhan Empayar Islam Turki, tumbangnya kerajaan Itali pimpinan Arnold Forlani di bawah tangan Freemason. Negara seperti Mesir, Libya, Pakistan, Arab Saudi dan Indonesia turut mengahramkan Freemason kerana terbukti gerakan ini bersekongkol dengan Zionis.
Gerakan Freemason ini turut melibatkan mereka yang berjawatan tinggi, VVIP, kerabat istana, menteri-menteri dan juga golongan berada. Ini mengukuhkan lagi paksi mereka dalam menjalankan misi mereka kerana mereka menguasai kekuatan politik dan ekonomi. Cara untuk memasuki gerakan ini sangat ekslusif. Tidak perlu mengisi borang atau memohon keahlian. Sebaliknya untuk menjadi ahli , mereka akan diberi undangan khas atau diajak sendiri oleh ahli Freemason.
Firman Allah s.w.t menyebut :
“ Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu " al-maidah : 3
Telah terbukti bahawa Islam satu-satunya agama yang diiktiraf di akhirat nanti. Justeru, Islam tidak wajar diterjemahkan sebagai satu ideology kerana ia wahyu dari Allah s.w.t . Islam bukan seperti fahaman Freemason yang dikatakan dibawa oleh tentera Salibiyyah. Islam juga bukan rekaan manusia seperti Karl Marx dengan Komunisme, Yahudi dengan Zionisme dan Hitler dengan Nazisme.
Apa tindakan Kita??
Sebagai Mahasiswa, golongan yang kononnya dikatakan sebagai ilmuan, seharusnya kita mempunyai perancangan tersendiri bagi menyelamatkan saudara seIslam kita. Jangan biarkan minda kita yang streotaip menyempitkan pemikiran bahawa hanya ustaz dan ustazah sahaja yang layak memberi teguran dan menyapaikan dakwah. Mengapa tidak kita mulakan?
Medan dakwah terbentang luas. Dari tempat kerja, kawasan perumahan, university mahupun sekolah, semuanya boleh dijadikan landasan dakwah Islamiyyah. Karya kartun, lagu-lagu berunsurkan jihad, seni reka yang berunsurkan kesenian Islam, penulisan artikel-artikel, penghasilan buku-buku ilmiah hatta blog-blog yang bermanfaat juga boleh diaplikasikan untuk kerja-kerja Islam.
Untuk semua mahasiswa, pekerja Muslim, kuasailah bidang anda sekarang. Wujudkan ruang dan peluang untuk kita sama-sama menjadi Muslim yang profesional dalam kerjaya serta cemerlang dalam ibadah dan dakwah. Apa guna teknologi di depan mata andai kita masih tidak cakne tentang isu-isu semasa yang berkaitan dengan sensitiviti umat Islam khusunya dan dunia amnya. Freemason mungkin salah satu agenda yang kita tahu. Namun, sejauh mana kita mengenali musuh kita? Adakah kita sedang melawan musuh dengan telinga yang pekak dan mata yang buta?
Saya juga kadang-kala terleka di medan perjuangan ini. Disinilah pentingnya kita berada bersama-sama teman dan berada didalam jemaah Islam. Kita menjadi cermin dan sentiasa memperingatkan tanggungjawab kita yang masih belum selesai. Membangunkan Khilafah Islamiyyah. Sama-samalah kita koreksi adakah kita sebenarnya sudah bersedia berhadapan dengan ancaman musuh Islam??
Memuliakan Tetamu dan Jiran
Mengapa perlu memuliakan jiran dan tetamu??
Hidup bermasyarakat amat dituntut didalam Islam. Sikap hormat-menghormati dan saling tolong menolong harus ada bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat. Namun, ramai dikalangan kita kadang-kala sering memperlekehkan adab-adab dan tatasusila yang seharusnya dimainkan oleh setiap muslim sebagai seorang jiran atau tetamu mahupun tuan rumah.
Hadith dari Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “ Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan kebaikan ataupun diam, Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya, Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, makan hendaklah ia memuliakan tetamunya “ Riwayat Bukhari dan Muslim
Hadith jelas menunujukkan bahawa Islam cukup menjaga peradaban sesama manusia. Jika kita lihat, mengapa ayat “barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian” menjadi syarat?? Ini membuktikan bahawa salah satu penyempurnaan keimanan kita adalah dengan berkata baik, menghormati jiran dan tetamu.
Betapa besarnya perhatian yang Nabi berikan kepada perkara ini sehingga meletakkan status iman didalamnya. Jelaslah bahawa Islam bukan sekadar Ibadah semata iaitu hubungan antara Pencipta dan hamba tetapi Islam juga meliputi antara hubungan hamba sesame hamba-Nya.
Siapa Jiran kita dan apa Haqnya?
Firman Allah :
36. Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri,
Jiran ialah :
1) Orang yang tinggal serumah dengan kita
2) Orang yang berdekatan dengan rumah kita
3) Orang yang tinggal dalam lingkungan 40 buah rumah dari semua sudut
4) Orang yang tinggal senegeri dengan kita
Haq-haq Jiran :
1) Bukan Muslim : Hanya mempunyai haq sebagai jiran – antaranya mebantunya ketika susah, memberi makanan, menenangkan hati ketika ditimpa musibah atau masalah .
2) Orang Islam : Mempunyai haq sebagai Muslim dan jiran
3) Kaum kerabat : Mempunyai haq sebagai Muslim, jiran dan kekeluargaan
Adab sebagai tetamu
1) Datang pada waktu yang sesuai iaitu bukan waktu subuh, makan tengahari dan ketika rehat.
2) Beri salam sebanyak 3 kali dan berdiri di sebalik pintu masuk.
3) Tunggu pintu dibuka dan bersabarlah sepanjang tempoh solat sunat 2 rakaat.
4) Tidak duduk di rumah orang melebihi 3 hari kerana takut menyusahkan tuan rumah.
5) Membawa buah tangan sebagai tanda penghargaan.
Adab sebagai tuan rumah
1) Menyambut tetamu dengan wajah yang manis.
2) Tidak membiarkan tetamu menunggu lama di luar.
3) Menyediakan makanan dan minuman mengikut kemampuan.
4) Menyediakan kemudahan dan keselesaan seadanya jika tetamu bermalam di rumah.
5) Bersederhana dan jagan terlalu membazir atau menyusahkan diri.
6) Berbicara dengan lemah lembut dan tidak berkasar.
Rujukan :
1) Kitab Al-Wafi fi Syarah Al-Arbain An-Nawawi oleh Dr Mustafa Bugho dan Mahyudin Mistu, terbitan Darul Fikir, m/s 103 -109
2) Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahanya)oleh Mustafa ‘Abdul Rahman, terbitan Dewan Pustaka Fajar, m/s 206 -212
Friday, March 20, 2009
Berkongsi Impian
Demam exam melanda di Jamiaah Yarmouk sekarang.. Adik-adik di Just juga sama.. Alhamdulillh, masing-masing dalam mood study sekarang, tapi kesian juga melihat sahabat-sahabat yang kurang sehat.. Semoga sakit demam kita ni boleh menghapuskan dosa-dosa kita.. Banyakkan istigfar ye..
Sejak akhir-akhir ni kami selalu bersembang-sembang tentang masa depan.. Tentang cita-cita dan impian kami.. Mula-mula kami rasakan ianya suatu angan-angan tapi lama kelamaan angan-angan ini menjadi lebih serius..
Sekolah dulu selalu sangat la keluar soalan spot ni - Apa Cita-Cita Kamu?-
Masa tu macam-macam cita-cita lah keluar termasuklah saya sendiri. Teringat cita-cita pertama saya dahulu, nak jadi pegawai polis!! Mak dengan abah mengiakan sahaja la.. Budak-budak kan, hari ini nak jadi polis, esok cikgu esok doktor.. Saya tersenyum sendiri mengenangkan cita-cita nak menjadi pegawai polis. Bagaimanalah agaknya..
Itu cita-cita ketika di sekolah rendah. lebih kurang usia 10 tahun. Kini, 12 tahun telah berlalu. Hidup semakin mencabar, usia yang semakin matang membuatkan diri lebih banyak berfikir.
Apa sebenarnya kemahuan hati??
Seronok melihat teman-teman yang merancang pelbagai perancangan dan mengatur jalan menuju impian mereka. Ada yang mahu membuka tadika Islam, menjadi peguam, menjadi usahawan, nak ambil double degree dan tak kurang ada juga yang ingin membuka ladang lembu.. Menarik kan?? Mungkin orang melihat ia sebangai angan-angan kosong, tapi bagi saya dan teman-teman angan-angan ini telah berubah menjadi motivasi untuk kami.
Namun, janganlah kita menjadikan impian ini sekadar angan-angan mak jenin. Hanya duduk berangan, tetapi tiada usaha yang dilakukan. Itulah yang kami doakan. Memanjatkan pengharapan dan sandaran padaNya. Doa impian kami semua menjadi kenyataan. Paling penting apa yang kami harapkan impian ini mendapat keberkatan dariNya dan bermanfaat untuk Ummah.
Teringat kata-kata MC program Api : "India rosak kerana todi, Cina rosak kerana perempuan, Melayu rosak kerana kuat angan-angan. Tetapi tak salah kita berangan-angan andai ia bukan satu yang sia-sia " Yup, betul tu. Tak salah menyimpan angan-angan. Namun letakkanlah ia sebagai satu impian kita yang kita mahu realisasikan suatu hari nanti..
Kepada teman-teman seperjuangan, yok kita sama-sama berusaha. Tetapi jangan lupa, kita merancang, Dia sebaik-baik Perancang. Andai impian kita tidak tercapai suatu hari nanti, jangan kita bersedih. Pasti ada tempat yang telah Dia tetapkan. Paling penting, kita mencari Redha-Nya dalam setiap amalan kita.
Ingatlah kembali dasar kita menuntut ilmu. Selain kewajipan sebagai muslim, ilmu adalah wasilah kita mengenal Allah. Jadikan pertambahan ilmu kita dengan menambah taqarrubnya kita pada Allah. Teruskan melangkah.
Terima kasih kerana berkongsi impian dengan ku..