Wednesday, February 4, 2009

Islam itu Mudah dan Indah

الأخذ باليسير وترك التعسير

عن أبي هريرة عبد الرحمن بن صخر رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ما نهيتكم عنه فاجتنبوه, وما أمرتكم به فأتوا منه ما استطعتم, فاءنما أهلك الذين من قبلكم كثرة مسائلهم واختلافهم على أنبيائهم – رواه البخاري ومسلم.

Maksudnya :
Dari Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhr radiayallahu'anhu berkata : Aku mendengar Rasulullah sallahu'alaihiwasallam bersabda : Apa yang aku tegah kamu darinya maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka laksanakanlah dengan kemampuan kamu. Sesugguhnya telah binasa orang-orang sebelum kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan dan perselisihan terhadap nabi-nabi mereka.
Diriwayatkan oleh Bukhari&Muslim.

Sebab Wurud Hadith
Suatu hari Nabi s.a.w berkhutbah dan berkata : Wahai manusia, telah difardhukan keatas kamu haji maka tunaikanlah haji. Kemudian seorang lelaki bertanya : Adakah setiap tahun wahai Rasulullah?..Leleki itu bertanya sehingga tiga kali namun Nabi s.a.w diam sehinggalah kali ketiga Nabi menjawab : Jika aku katakana ia maka ia(haji) akan menjadi wajib (setiap tahun), lakukanlah yang kamu mampu. Kemudian baginda berkata lagi : Tinggalkan lah apa yang aku tinggalkan. Sesungguhnya kemusnahan umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak pertanyaan kepada nabi mereka, maka apa yang aku perintahkan laksanakanlah dengan kemampuan kamu, dan apa yang aku larang tinggalkan lah ianya.
(Dari muslim – Alhaj- Bab fardu haji&umrah – 1337)

Fiqh Hadith
1) " Apa yang ditegah maka jauhilah "
  • Nahi Tahriman : Menjauhi perkara-perkara haram yang telah jelas dalil pengharamannya didalam Al-quran & As-sunnah. Barangsiapa melakukannya akan mendapat balasan di dunia&akhirat. Tuntutan menjauhinya adalah ilzam(bersungguh2)
    Contohnya : Zina,mencuri,minum arak,membuka aurat,mengumpat,rasuah
  • Nahi Tanzihan : Islam menyuruh menjauhinya kerana dibenci (karihah) tetapi ia bukanlah perkara yang haram. Sesiapa yang melakukannya tidak mendapat dosa.
    Contohnya : Nabi melarang memakan bawang besar atau bawang putih jika kita hendak solat berjemaah atau solat Jumaat kerana baunya boleh mengganggu jemaah yang lain

2) Darurat membenarkan perkara haram ( الضرورة تبيح المحظورات)

Menjauhi perkara haram adalah satu kewajipan yang perlu dilakukan bersungguh-sungguh. Namun kadangkala ada keadaan yang menyebabkan kita terpaksa melakukan perkara yang haram kerana terdesak (darurat). Allah itu Maha Mengetahui, terdapat beberapa perkara yang diringakan kepada hambanya.

Firmanya :
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (surah baqarah : 173)

3) " Dan apa yang diperperintahkan "

  • Perintah Wajib : Allah telah memerintahkan umat Islam melakukan suruhannya yang telah dijelaskan melaui nas-nas syarei dan rasul-Nya. Sesiapa yang meninggalkannya akan mendapat dosa manakala yang melakukannya akan mendapat pahala .Tuntutan melakukannya adalah ilzam (sentiasa) Contohnya : Solat fardu, puasa ramadhan, amar makruf nahi mungkar

  • Perintah Sunat : Ia adalah suruhan kepada umat Islam untuk melakukannya. Sesiapa yang melakukannya akan mendapat pahala manakala yang meniggalkannya tidak pula mendapat dosa.
    Contohnya : Solat sunat rawatib, azan, bersedekah, makan dengan tangan kanan.

4) Masyaqqah (kesusahan) memberi kemudahan


Menjadi kewajipan kita melaksanakan suruhan Allah demi mencapai keredhaan-Nya dan kebahagian di dunia&akhirat. Kesusahan adalah perkara biasa yang akan dialami tetapi ada beberapa keadaan yang menyebabkan sesuatu ibadah itu diringankan untuk kemaslahatan umat Islam. Keringanan inilah yang dikatakan sebagai Rukhsah

Contohnya : Orang yang bermusafir dan sakit dibenarkan berbuka puasa, solat Qasar&Jama’ untuk musafir..

5) Soalan dan hukumnya

  • Soalan yang dituntut oleh syara’
    i. Fardhu Ain pada setiap Muslim : Persoalan yang tidak patut ditinggalkan atau didiamkan seperti soalan berkaitan ibadah harian-solat, bersuci, haid, perkahwinan.
    ii. Fardhu Kifayah : Persoalan untuk meluaskan kefahaman agamanya dan hukum-hakam. Ia bukanlah untuk peribadi tetapi untuk memelihara agama,memberi fatwa dan mengajar manusia.
    ii. Sunat : Persoalan tentang cara-cara beramal soleh, menambah amalan fardhu.

  • Soalan yang ditegah
    i. Haram
    a) Soalan berkaitan tentang perkara yang hanya diketahui oleh Allah s.w.t sahaja seperti soalan tentang bila hari qiyamat, hakikat roh
    b) Soalan berkaitan dengan mu’jizat bertujuan untuk menghina dan mempersendakan agama.
    c) Soalan tentang perkara yang rumit yang banyak bertanya tentang kenapa begitu kenapa begini dan pada hakikatnya tidak memberi manfaat pada diri&agama.

ii. Makruh
a) Soalan yang tidak memberi manfaat dan jawapan yang ada tidak mendatangkan faedah pada amalannya.
b) Soalan berkaitan perkara syubhah iaitu perkara yang didiamkan halal dan haramnya dan tidak jelas suruhan untuk melakukannya atau meninggalkannya.

iii. Harus : Persoalan-persoalan yang biasa yang tidak membawa kepada hukum haram atau mempersendakan agama.


6) Sebab kemusnahan umat terdahulu

Baginda s.a.w telah menjelaskan sebab kemusnahan umat terdahulu adalah kerana banyak pertanyaan terhadap perintah Allah dan perselisihan denagn nabi-nabi mereka dan tidak bersungguh-sungguh menjalankan perintah-Nya. Nabi melarang para sahabat banyak bertanya kerana ditakuti akan membuatkan mereka merasa berat dan susah untuk melaksanakan taklifan yang telah ditetapkan oleh Allah, dan mungkin perkara yang ditanya itu tidak mendatangkan faedah dan manfaat pada dirinya, orang lain serta agama.

7) Berwaspada dari perselisihan dan galakkan untuk bersatu&sepakat

Firman Allah s.w.t :
"Sesungguhnya ugama Islam Inilah ugama kamu, ugama Yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka Sembahlah kamu akan daku. (surah anbiyaa' : 92)


Ayat diatas jelas menunjukkan bahawa kita seharusnya menjaga dan memelihara penyatuan umat, supaya kita dapat berpegang teguh dan kuat untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam di luar sana. Baginda juga memberi amaran supaya tidak berselisih dan berpecah belah kerana ia akan memuahkan musuh menyerang penjuru-penjuru Islam.

8) Balasan orang yang berpecah dari Jemaah (Islam) dan kecaman terhadap perpecahan&perselisihan


Sesungguhnya Islam amat keras terhadap mereka yang keluar dari jemaah islamiah kerana perselisihan dan tiada persefahaman. Malah Allah telah menetapkan hukuman bunuh terhadap mereka di dunia dan neraka jahannam di akhirat.

Firman Allah s.w.t :
"dan sesiapa Yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan Yang lain dari jalan orang-orang Yang beriman, Kami akan memberikannya Kuasa untuk melakukan (kesesatan) Yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke Dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. " (surah an-nisaa' : 115)

Dan sabda Rasulullah S.A.W : Barangsiapa keluar dari ketaatan dan berpisah dari jemaah (agama Islam) maka matinya adalah mati dalam jahiliyyah. – Riwayat Muslim.


:: Kitab rujukan : Al-Wafi fi Syarah Al-arba'in An-nawawiah oleh Sheikh Mustafa Bugho dan Sheikh Mahyuddin Mistu. halaman 53-78 ::







No comments: