Wednesday, February 11, 2009

Tarbiyah Akhlaqiyah


Akhlaq Islamiyah. Itulah yang perlu ada dalam diri yang memegang hawiyah sebagai muslim. Namun persoalan yang bermain difikiran adakah ianya semulajadi hadir tanpa dicari atau ia perlu diterokai,dibaja dan disemai di dalam diri??




Apa itu akhlaq??


Kata Iman al-Ghazali :


“ Akhlaq bukan sesuatu yang dirancang dan bukan sesuatu yang difikir terdahulu sebelum dilaksanakan…”


Tiada kata yang spesifik yang dapat menterjemahkan definisi akhlaq. Ia merupakan perlakuan yang mempunyai roh aqidah di dalamnya dan mengikut bagaimana acuan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Akhlaq tidak sama dengan moral atau nilai-nilai murni kerana moral atau nilai-nilai murni lebih bersifat terbuka dan mengikut persepsi manusia, tempat dan zaman.



Akhlaq adalah fitrah yang baik. Justeru akhlaq yang buruk bukan fitrah yang baik . ALLAH S.W.T mengutuskan Nabi-Nya Muhammad S.A.W ke dunia untuk mengembalikan fitrah sebenar manusia menyembah tuhan yang satu dan menyempurnakan akhlaq manusia.

"

انما بعثت لأتمّا مكارم الخلاق"


“sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq”




Istikhlaq


Meniti perjalanan sebagai manusia yang sering leka kadang kala menyebabkan kita menyimpang dari fitrah yang sebenar. Sifat mazmumah sering menguasai diri membuatkan kita jauh dari akhlaq islamiyah yang dituntut syara’. Disinilah kita menyelami konsep Istikhlaq yang mana kita membentuk akhlaq kita. Kita berfikir bagaimana mahu mengubah diri dan cuba mendidik diri untuk melakukan sesuatu yang baik atau dalam erti kata lain berpura-pura untuk berakhlaq baik.




Istikhlas


Kita beristikhlaq untuk mencapai matlamat kita agar dapat berakhlaq seperti yang dikehendaki oleh ALLah S.W.T. Namun untuk mencapai matlamat ini kita perlukan mujahadah yang tinggi. Dalam mujahadah inilah juga kita mengimplementasikan konsep Istikhlas iaitu kita berpura-pura untuk ikhlas. Istikhlas adalah salah satu wasilah untuk mencapai matlamat kita. Erti kata lain, istikhlas adalah kenderaan dalam kita beistikhlaq untuk sampai ke kemuncaknya iaitu menjadi Muslim yang berakhlaq.




Adakah ia satu penipuan ataupun hipokrit dalam diri??

Pertama sekali,rasa menipu atau hipokrit ini perlu dikeluarkan dalam kamus kehidupan jika kita benar-benar mahu berakhlaq. Kerana inilah penghalang untuk kita Berjaya menjadi Muslim yang sejati. Kita bukan berpura-pura seperti kaum munafiq yang menzahirkan Islam secara luaran tetapi hakikatnya membenci Islam didalam hati. Sebaliknya kita berpura-pura untuk mengamalkan apa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Ia benar, kita berpura-pura atau menipu untuk menjadi baik. Tetapi apa yang kita pura-purakan adalah untuk kebaikan kita, kembali kepada fitrah kita yang sememangnya dijadikan mempunyai akhlaq yang baik. Percayalah, andai konsep Istikhlaq&Istikhlas ini kita aplikasikan dalam kehidupan, akhirnya kita akan bertemu kemuncaknya menjadi seorang yang berakhlaq dengan sepenuh keikhlasan.




Bagaimana penghujungnya??

Dalam kita berusaha pasti ada onak duri yang melanda. Kadangkala kita risau memikirkan jika akhlaq kita yang masih belum sempurna ini akan menjadikan kita tertolak sebagai orang yang beraklaq islamiyyah untuk selamanya?? Jika kita pandang pada natijah akhir kita akan merasakan ALLAH S.W.T itu tidak adil kerana hanya akan memandang mereka yang berjaya mencontohi akhlaq baginda s.a.w yang berlandaskan syariat. Tetapi kita silap. Siapa kita untuk membuat dakwaan sedemikian. Sebenarnya yang ALLAH mahukan adalah usaha kita bukan natijah akhirnya. Buktinya Allah memasukkan hambaNya ke dalam syurga bukan semata-mata kerana amalannya tetapi kerana rahmat, kasih sayang dan belas kasihan dariNya.

Justeru, yang penting adalah niat suci yang dipasakkan didalam hati, azam yang tinggi serta tawakkal pada Illahi dengan sepenuh hati. Marilah kita bersama-sama beristikhlaq dan beristikhlas agar sama-sama dapat membetuk peribadi muslim yang cemerlang dari sudut akhlaqnya, aqidahnya dan amalannya.



:: Salam Mujahadah, Salam Istiqamah ::




p/s : Syukran kat ust razi kerana memberi buah fikiran kepada kami. Semoga ust dan keluarga sentiasa dirahmati Allah

No comments: